LAGI RAMPASAN BERAS DICATAT

1,113 guni beras import yang dirampas di Miri dipercayai belum lulus kastam.

Utusan Borneo (Sarawak) - - Muka Depan - Oleh Mohd Aliff Idzwan Abdullah

MIRI: Sebanyak 1,113 guni beras yang diimport dari negara jiran dipercayai belum mendapat kelulusan kastam berjaya dirampas dalam satu serbuan dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ke atas sebuah gudang di Taman Tunku di sini, pagi kelmarin.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, nilai keseluruha­n rampasan beras termasuk cukai ialah RM116,865.

Katanya, serbuan ke atas gudang terbabit dijalankan sepasukan anggota Bahagian Penguatkua­saan Kastam Miri kira-kira jam 10.45 pagi.

“Hasil pemeriksaa­n yang dijalankan pasukan berjaya menemui sejumlah beras yang dipercayai belum lulus kastam disimpan di bahagian stor penyimpana­n barangan gudang berkenaan.

“Sebanyak 1,113 guni beras bersamaan dengan 55,650 kilogram (kg) dirampas yang melibatkan anggaran nilai sebanyak RM83,475 dengan anggaran nilai cukai yang terlibat adalah sebanyak RM33,390,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan itu seorang lelaki telah dipanggil bagi membantu siasatan.

“Individu terlibat disyaki menyimpan beras yang belum lulus kastam yang diimport dari negara jiran untuk dijual kepada pelanggan di sekitar bandar raya Miri.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 di mana jika didapati bersalah individu terlibat akan dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang ataupun RM100,000 ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Sharifah Halimah turut menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurka­n maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludup­an barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubung­i Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana pejabat kastam yang berhampira­n di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiaka­n,” katanya.

DIRAMPAS: Pegawai dan anggota JKDM meninjau 1,113 guni beras yang diimport dari negara jiran dipercayai belum mendapat kelulusan kastam ditempatka­n di sebuah gudang di Taman Tunku.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.