Simpan motosikal curi, lelaki dipenjara 30 bulan

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 30 bulan dan denda RM1,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah atas tiga tuduhan menyimpan motosikal curi.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Steve Ritikos setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukann­ya serta mengambil kira kepentinga­n awam.

Mohammad Helmi Rima, 29, dari Kampung Piasau Utara di sini telah didakwa atas tiga tuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta denda, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.

Berdasarka­n kes pertama, tertuduh didapati dengan curang telah menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal kepunyaan George Clington Balan Lian, 27.

Manakala dalam kes kedua, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan serupa dengan curang menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal bernombor pendaftara­n QTJ59xx dan kepunyaan Ridzuan Pramba Aping.

Sementara dalam kes ketiga, tertuduh telah menyimpan harta curi iaitu sebuah rangka motosikal dengan nombor pendaftara­n QMW14xx kepunyaan Syahrein Abdullah, 37.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 3.45 petang, 26 Oktober lalu di sebuah lot di Jalan Malva Kampung Sungai Baong di sini.

Tiga kes itu telah dibacakan secara berasingan ke atas tertuduh.

Bagi kes pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan; bagi kes kedua dihukum penjara 18 bulan dan denda RM1,000 atau tiga bulan penjara dan penjara 30 bulan bagi kes ketiga.

Mahkamah memerintah­kan hukuman penjara itu berjalan serentak berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan pada 26 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.