Tiga maut, 20 cedera dalam gempa bumi di Iran

Utusan Borneo (Sarawak) - - Dunia -

TEHRAN: Gempa bumi di barat laut Iran semalam mengorbank­an tiga orang dan mencederak­an seramai 20 lagi, menurut laporan rasmi pertama dalam televisyen negara.

Gempa bumi cetek sekuat 5.9 magnitud berlaku kirakira 120 kilometer di tenggara bandar Tabriz, di Wilayah Timur Azerbaijan, pada waktu awal pagi, kata Pusat Seismologi Iran.

Gempa bumi, dinyatakan sebagai “sederhana”, adalah lapan kilometer dalam dan diikuti oleh empat gegaran susulan.

Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS) mengeluark­an amaran berjaga-jaga bahawa “bilangan kematian atau kecederaan mungkin lebih tinggi dan bencana itu berpotensi meluas.”

Iran terletak di mana dua plat tektonik utama bertemu dan kerap mengalami aktiviti seismik.

Negara itu telah mengalami beberapa bencana besar dalam beberapa dekad kebelakang­an ini, termasuk di bandar purba Bam, yang dimusnahka­n oleh gempa bumi bersifat bencana pada 2003 yang meragut 31,000 nyawa.

Pada 1990, gempa bumi sekuat 7.4 magnitud di utara Iran mengorbank­an 40,000 orang, mencederak­an 300,000 dan menyebabka­n setengah juta kehilangan tempat tinggal, selain turut memusnahka­n beberapa pekan dan hampir 2,000 kampung.

Iran telah mengalami sekurang-kurangnya dua gempa bumi besar lain dalam beberapa tahun kebelakang­an ini – satu pada 2005 yang mengorbank­an lebih 600 orang dan satu lagi pada 2012 yang menyebabka­n kira-kira 300 kematian. — AFP

— Gambar Iran Press/AFP

ROSAK: Gambar diambil daripada video diterbitka­n oleh media Iran semalam menunjukka­n sebuah kereta ditimpa runtuhan selepas gempa bumi sekuat 5.9 magnitud melanda bandar Tabriz, di Wilayah Timur Azerbaijan semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.