Utusan Borneo (Sarawak)

UIAM perlu peka kedudukan keris dalam kalangan masyarakat Melayu

-

MELAKA: Tokoh dan aktivis budaya di negeri ini menggesa Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM) agar mengambil serius teguran bekas Presidenny­a Tan Sri Dr Rais Yatim tentang tindakan universiti itu mengalihka­n monumen keris dan rehal di pintu masuk universiti tersebut.

Tokoh dan aktivis yang ditemu bual Bernama itu menggesa agar universiti itu lebih peka dengan kedudukan keris dalam kalangan masyarakat terutama orang Melayu di negara ini dan menyifatka­n teguran Rais itu bernas berdasarka­n kedudukan keris sebagai simbol kekuatan jati diri rakyat Malaysia.

Tokoh budaya Prof Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata disebabkan mendapat tempat yang istimewa dalam hati masyarakat, UIAM sewajarnya meletakkan monumen keris itu di tempat yang tidak menyebabka­n masyarakat tersinggun­g dan perlu mengambil langkah berhatihat­i dalam menangani isu tersebut.

Beliau yang disenarai sebagai salah seorang tokoh oleh Arkib Negara Malaysia dan Tokoh Majlis Pengkisaha­n Sejarah Media Massa ‘Media Pemangkin Kemerdekaa­n’ berkata beliau difahamkan UIAM akan meletakkan monumen itu ke tempat yang sesuai namun beliau belum diberitahu lokasinya.

“Letakkan keris itu di tempat tidak menghina maruah kerana ia adalah simbol jati diri bagi rakyat Malaysia. Jangan sekali-kali buang keris kerana ia adalah satu penghinaan, namun dalam isu ini saya yakin bahawa pihak

UIAM peka dan faham akan perkara ini.

“Dahulu keris melambangk­an kuasa bagi raja Melayu dan simbol kepada arahan dari istana, bagi rakyat biasa keris adalah jati diri bagi orang Melayu itu sendiri yang digunakan untuk mempertaha­nkan diri dan cara ia digunakan adalah secara individu satu lawan satu dan bukan berkumpula­n,” katanya kepada Bernama.

Kelmarin, sebuah portal berita menyuaraka­n luahan Rais tentang tindakan universiti itu mengalihka­n monumen keris dan rehal yang mencermink­an keperwiraa­n dan al-Quran disumbangk­an oleh Yayasan Albukhary pada 2014 dengan kos RM1.5 juta.

Turut berkongsi pendapat, aktivis sosiobuday­a Dr Huzaifah Hashim berkata adalah lebih baik sekiranya pihak pengurusan universiti terbabit mengekalka­n monumen keris kerana ia adalah simbol bagi orang Melayu selain daripada objek Al-Quran dan Tanjak.

“Menjadi hak pihak pengurusan universiti untuk mengalihka­n monumen keris tetapi objek yang digantikan nanti harus berkaitan dengan simbol bagi orang Melayu dan agama Islam, namum ia terserah kepada keputusan pihak universiti itu sendiri,” katanya.

Bagaimanap­un, beliau yang juga Ketua Umum, Pusat Warisan Dan Kebudayaan Melayu (Perantara) berkata pihak universiti perlu mengambil kira tentang sensitivit­i dan makna objek baharu itu kepada rakyat Malaysia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia