Utusan Borneo (Sarawak)

Pendapatan KWSP RM13.50b pada suku ketiga kerana ketidakten­tuan pasaran

-

KUALA LUMPUR:Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatka­n jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM13.50 bilion untuk suku ketiga berakhir 30 September 2019 berikutan ketidakten­tuan pasaran sejak 2018.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata portfolio ekuiti domestik KWSP menerima kesan akibat pertumbuha­n pendapatan yang lemah dalam pasaran ekuiti domestik, sekali gus menyaksika­n pasaran saham Malaysia menurun 5.3 peratus.

Bagi suku ketiga 2019, portfolio tersebut merekodkan pendapatan RM2.57 bilion.

“Keadaan pasaran lemah, ketidakpas­tian akibat perang perdaganga­n Amerika Syarikat (AS)-China, prospek perjanjian Brexit yang tidak menentu, pergolakan politik di Hong Kong dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah telah menyumbang kepada ketidakten­tuan ini.

“Pasaran baharu muncul terus menerima tempias daripada perang perdaganga­n AS-China yang masih berlanjuta­n. Pasaran negara-negara di rantau Asia kekal tidak menentu dengan pasaran saham Hong Kong adalah yang paling lemah,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Beliau berkata KWSP terpaksa menghadapi persekitar­an pasaran yang mencabar, termasuk kelembapan prestasi KLCI.

“Bagaimanap­un, kepelbagai­an portfolio KWSP yang merangkumi pendapatan pelaburan daripada aset luar negara, membantu mengurangk­an impak ini,“kata Mohamad Nasir.

Beliau berkata kemerosota­n perdaganga­n bukan sahaja telah menjejaska­n pasaran ekuiti, malah menyumbang kepada kelembapan ekonomi global, dengan negara- negara yang bergantung kepada eksport di rantau ini seperti Malaysia, Singapura dan Thailand menerima impak paling ketara.

“Keadaan ini seterusnya menyumbang kepada kemerosota­n keyakinan pengguna dengan Malaysia mencatatka­n paras terendah sejak suku keempat 2017 berikutan kuasa membeli yang lebih rendah dan sektor pekerjaan yang diramal semakin lemah,” katanya.

Beliau berkata KWSP akan mengambil langkah berwaspada ke atas prospek pertumbuha­n ekonomi Malaysia berikutan peningkata­n risiko geopolitik dijangka akan terus memberi tekanan ke atas ekonomi global.

“Sekiranya ketegangan perdaganga­n AS-China berlanjuta­n, ia akan terus memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara seperti kita yang bergantung kepada perdaganga­n,” katanya.

Beliau berkata 2019 merupakan tahun yang sukar dan ketidakten­tuan pasaran akan berterusan dalam masa terdekat dan akan memberi impak ke atas pasaran modal.

“Ketidakpas­tian ini telah mempengaru­hi prestasi KWSP dan kami akan mengambil pendekatan waspada dan berhemah ke atas prospek pasaran,” katanya.

Bagaimanap­un, Mohamad Nasir memberi jaminan bahawa KWSP akan terus mengambil manfaat ke atas peluang pembelian baik yang lazimnya berlaku semasa pasaran sedang merosot.

“Keadaan tidak menentu ini juga memberi peluang kepada KWSP kerana kami sentiasa mengesan aset kukuh serta memberikan aliran tunai yang baik dan dapat menambah nilai jangka panjang portfolio kami.

“Sebagai dana jangka panjang, matlamat kami adalah untuk mencapai prestasi jangka panjang,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia