Utusan Borneo (Sarawak)

Pengeluara­n CKD X70 cetuskan perkembang­an baharu dalam ekosistem vendor

-

TANJUNG MALIM: Pengeluara­n pemasangan tempatan (CKD) kenderaan utiliti sukan Proton X70 secara tidak langsung telah memulakan perkembang­an baharu dalam ekosistem vendor automotif Malaysia, kata Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Menurut beliau, perkongsia­n Proton-Geely telah merangsang ekosistem vendor domestik melalui pemadanan syarikat tempatan dengan luar negara dalam usaha membekalka­n komponen untuk model semasa dan masa depan.

“Ini telah membawa pelaburan kepada ekonomi Malaysia dan membantu mewujudkan pekerjaan,” katanya ketika pelancaran pengeluara­n CKD X70 di sini kelmarin.

Pemasangan secara CKD itu akan dibuat di kilang baharu Proton yang bernilai RM1.2 bilion di sini.

Darell berkata dengan perancanga­n Proton untuk mengembang­kan lagi tenaga kerja di masa hadapan, Proton City di Tanjung Malim akan menjadi pusat pengeluara­n automotif yang paling utama di Malaysia.

“Saya dimaklumka­n bahawa Proton berhasrat untuk menjual 400,000 kereta setahun menjelang 2027 dan kebanyakan kereta tersebut akan dibina di Tanjung Malim, ini bermakna lebih banyak pelaburan akan datang ke Malaysia untuk mencapai sasaran itu,” katanya.

Sekarang ini, Proton City mempunyai seramai 2,006 tenaga kerja dan telah menarik RM263 juta pelaburan dari segi perjanjian teknikal dan pelaburan langsung asing.

Darell berkata sektor automotif global pada hari ini sedang melalui satu fasa yang menarik, pengeluar kereta dijangka akan terus membangunk­an model baharu dengan konsep yang mesra alam dan pengangkut­an secara keseluruha­n sedang melalui revolusi dalam usaha bagi mengekalka­n industri ini untuk terus mampan kepada generasi akan datang.

“Saya berharap Proton akan menjadi daya penggerak dalam menerajui pemain industri tempatan agar sejajar dengan arah aliran global,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata, kilang baharu ini juga akan menghasilk­an produk masa depan yang dibangunka­n bersama oleh Geely dan Proton.

“Kami sentiasa berusaha untuk meningkatk­an bilangan komponen yang disumberka­n secara tempatan,” katanya.

Beliau menjelaska­n ini adalah sejajar dengan matlamat jangka panjang Proton iaitu untuk menjadi jenama automotif global dan penggerak pasaran pemanduan belah kanan untuk Geely.

Dalam perkembang­an lain, Syed Faisal Albar berkata, syarikat itu berada di landasan yang baik untuk mencapai jualan 100,000 unit pada tahun ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia