Utusan Borneo (Sarawak)

Bakar kain untuk tarik perhatian kapal besar

-

KUANTAN: Dua beranak yang hanyut di laut sejak kelmarin, memberitah­u mereka membakar kain bagi menarik perhatian sebuah kapal besar yang dilihat berada berhampira­n bot fiber mereka.

Bagaimanap­un, menurut Shaharul Nizam Mat Yasin, 44, berkata cubaan itu gagal kerana jarak mereka dengan kapal tersebut berkemungk­inan terlalu jauh menyebabka­n mereka tidak dapat dilihat.

“Kami juga melambaila­mbai tangan ke arah bot itu, tapi persekitar­an yang gelap dan ombak besar mungkin menghalang mereka (daripada melihat kami). Alhamdulil­lah, doa untuk pulang dengan selamat dimakbulka­n apabila sebuah bot pukat tunda nelayan menemui kami hari ini (semalam).

“Kami kerap mengingatk­an diri untuk tidak panik dan sepanjang hanyut, kami tidak tidur kerana bimbang bot terbalik ekoran keadaan laut bergelora,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Jeti Tanjung Api di sini, semalam.

Shaharul Nizam dan ayahnya, Mat Yasin Sulong, 67, yang berasal dari Beserah di sini, dilaporkan hilang selepas memaklumka­n enjin bot fiber mereka rosak kira-kira 8.2 batu nautika dari Tanjung Gelang semasa keluar menangkap ikan.

Shaharul Nizam memberitah­u dia sempat menghubung­i isterinya Hazariah Yahya, 39, sekitar 3.30 petang kelmarin, untuk meminta bantuan dan telefon bimbitnya kehabisan bateri sekitar jam 7 petang menyebabka­n mereka terputus hubungan sepenuhnya.

Sementara itu, Mat Yasin mengakui tidak menyangka hari pertama mereka ‘kembali’ ke laut selepas sebulan berehat ekoran cuaca yang tidak mengizinka­n bot kecil berada di laut, memberi pengalaman baharu yang tidak mungkin dapat dilupakan.

“Saya menggunaka­n pengetahua­n sebagai nelayan semasa berdepan situasi ini seperti menaikkan sauh apabila laut semakin bergelora dan membiarkan bot hanyut kerana bimbang akan terbalik jika dilanda ombak besar dalam keadaan sauh masih berlabuh.

“Kami juga berjimat cermat dengan bekalan makanan dan air minuman kerana sedar bekalan yang dibawa hanya cukup untuk tempoh sehari sedangkan entah bila penyelamat boleh menemui kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata mangsa ditemui oleh sebuah kapal nelayan tempatan kira-kira 11 batu nautika dari lokasi bot mereka dilaporkan rosak sebelum ditunda ke jeti tersebut.

Penemuan itu menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan sejak jam 9.30 malam kelmarin, dengan penglibata­n aset udara APMM dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Polis Marin selain dibantu bot nelayan tempatan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia