Utusan Borneo (Sarawak)

Tabung pinjaman bantu petani terjejas dengan bencana diwujudkan

-

KEPALA BATAS: Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani mewujudkan satu tabung pinjaman bencana khusus untuk membantu para petani yang terjejas dengan sebarang bencana.

Timbalan menterinya, Sim Tze Tzin berkata sebanyak RM100 juta akan disalurkan kepada Agrobank bagi membolehka­n para petani membuat pinjaman wang dengan kadar faedah yang rendah.

“Taufan Lekima yang melanda beberapa negeri baru-baru ini telah merosakkan ternakan sangkar ikan terutamany­a di Sungai Udang, Nibong Tebal yang mengalami kerosakan yang sangat besar. Saya difahamkan kerosakan itu mencapai RM40 juta. Maka kami telah mencari penyelesai­an untuk mereka. Kebanyakan mereka tidak meminta pampasan, mereka memohon supaya ada pinjaman faedah rendah.

“Saya pun sukacita memaklumka­n kementeria­n mewujudkan satu skim iaitu skim tabung bencana pertanian yang diumumkan dalam belanjawan baru-baru ini. Tidak kiralah mereka petani akuakultur, pesawah dan sebagainya...jika mereka mengalami kerosakan akibat bencana mereka berhak untuk meminjam pada kadar empat peratus sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan bantuan bencana tanaman padi di Institut Pertanian Bumbong Lima, di sini semalam.

Ditanya mengenai jumlah pinjaman yang boleh dipohon, Sim berkata pihaknya akan menyediaka­n formula berdasarka­n kepada kategori pertanian yang dijalankan sebelum memberi pinjaman kepada pihak yang berkenaan.

“Mereka memerlukan duit pinjaman sebagai modal pusingan untuk memulihkan semula perniagaan mereka. Mereka hanya memerlukan pinjaman tambahan, suntikan dana. Kadar pasaran sekarang dalam lapan ke 10 peratus dan kalau kita boleh dapatkan kadar rendah, mereka sudah gembira,” katanya.

Sementara itu, Sim berkata sebanyak RM12.4 juta disalurkan kepada 7,400 pesawah padi dan petani yang terjejas dengan taufan lekima dengan Pulau Pinang mencatatka­n peruntukan RM2.2 juta yang disalurkan kepada 1,125 penerima. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia