Utusan Borneo (Sarawak)

JANGAN BUAT SPEKULASI

Biar pihak berkuasa siasat insiden rasuk jejambat runtuh di Miri: Baru

- Oleh Mohd Aliff Idzwan Abdullah dan Rusnan Mustafa

MIRI: Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian runtuhan rasuk jejambat dalam pembinaan di projek Lebuh Raya Pan Borneo, Pakej Kerja 11 (WPC), Seksyen Pujut di sini.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, biar siasatan menyeluruh dibuat pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian terbabit.

“Saya berharap kita jangan membuat sebarang spekulasi tetapi hanya tunggu laporan penuh siasatan berkenaan kejadian ini selesai dibuat kelak.

“Saya juga ingin memberikan amaran tegas kepada semua Pakej Kerja yang lain bagi projek Pan Borneo ini agar mematuhi standard antarabang­sa dalam keselamata­n dan prestasi,” ujarnya kepada pemberita ketika melawat ke tapak runtuhan terbabit di sini, petang semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling Sie Kiong.

Baru berkata, audit penuh akan dilakukan bagi menilai prestasi kesemua kontraktor yang terlibat dalam pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo sebelum Kementeria­n Kerja Raya mengambil alih projek tersebut awal tahun depan.

Sementara itu, Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan berkata, beliau sedia maklum mengenai masalah yang sedang dihadapi pengguna jalan raya Pan Borneo jajaran Sibu-Selangau.

“Kawasan ini adalah di bawah tanggungja­wab Lebuh Raya Borneo Utara (LBU) tetapi sebagai kementeria­n yang bertanggun­gjawab juga telah memberi beberapa amaran dan nasihat kepada WPC atau kontraktor yang bertanggun­gjawab menjalanka­n tugas mereka.

“Sekali lagi saya minta supaya WPC yang bertanggun­gjawab di kawasan Selangau untuk bekerjasam­a bagi menaikkan lagi prestasi mereka.

“Kita faham dalam keadaan hujung tahun begini yang kerap hujan, namun kita tak nak kompromi terhadap keselamata­n pengguna jalan raya,” jelasnya.

Baru berharap WPC yang bertanggun­gjawab di kawasan Selangau agar memeriksa semua jalan tersebut supaya keadaannya di tahap memuaskan.

Terdahulu di KUCHING, Baru berkata kementeria­nnya mengambil serius insiden rasuk jejambat yang runtuh di Seksyen Pujut sekitar jam 2.40 petang kelmarin.

Beliau menegaskan, siasatan terperinci dan menyeluruh akan dijalankan di lokasi kejadian bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabka­n runtuhan terbabit.

“Kita ambil maklum insiden jambatan yang masih dalam pembinaan yang berlaku di Miri dan memandang serius insiden yang berlaku ini.

“Satu siasatan terperinci akan dijalankan di lokasi kejadian bagi menentukan punca sebenar yang menyebabka­n jambatan ini runtuh sama ada disebabkan kecuaian atau sebaliknya,” katanya ketika mengulas insiden itu semasa ditemui pemberita pada majlis ‘Christmas Luncheon’ bersama Menteri Kerja Raya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How di Dewan Persatuan Orang Buta Sarawak di Kuching, semalam.

Tegas Baru lagi, kementeria­nnya telah mengarahka­n pegawai keselamata­n untuk turun ke lapangan bagi menjalanka­n siasatan.

Jelas beliau, tindakan menutup kawasan yang terjejas juga dijalankan agar siasatan dapat dilaksanak­an.

“Sebaik sahaja hasil siasatan diperolehi nanti kita akan menelitiny­a secara terperinci agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Kita amat mengambil berat kerja-kerja pembinaan ini agar setiap kerja dijalankan mematuhi standard antarabang­sa yang ditetapkan,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut bersimpati terhadap dua mangsa yang cedera akibat insiden tersebut dan berharap kedua-dua mereka kembali sembuh.

 ??  ?? TINJAUAN: Baru (tiga kanan) meninjau runtuhan rasuk jejambat yang sedang dalam pembinaan di projek Lebuh Raya Pan Borneo, Pakej Kerja 11, Seksyen Pujut, semalam.
BERBAHAYA: Keadaan di tapak runtuhan rasuk jejambat yang sedang dalam pembinaan di Miri.
TINJAUAN: Baru (tiga kanan) meninjau runtuhan rasuk jejambat yang sedang dalam pembinaan di projek Lebuh Raya Pan Borneo, Pakej Kerja 11, Seksyen Pujut, semalam. BERBAHAYA: Keadaan di tapak runtuhan rasuk jejambat yang sedang dalam pembinaan di Miri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia