Utusan Borneo (Sarawak)

Kes curi MotoGP 2019 selesai

Enam lelaki ditahan, 42 barangan bernilai RM75,300 dirampas

-

SEPANG: Polis percaya ia berjaya menyelesai­kan kes kecurian pada penganjura­n MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2019 di Litar Antarabang­sa Sepang (SIC) bulan lepas, dengan penahanan enam lelaki sejak 3 Nov lepas serta merampas barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) ACP Zulkifli Adamshah semalam memaklumka­n mengenai tangkapan terbaharu kelmarin melibatkan tiga lelaki tempatan, yang dua daripadany­a pernah bertugas secara sambilan di bahagian penyelengg­araan dan logistik MotoGP, seorang pada musim MotoGP 2019 dan seorang lagi MotoGP 2018.

“Mereka bertiga yang berumur 20-an dipercayai adalah kenalan yang tinggal berdekatan di sekitar daerah Sepang,” katanya dalam sidang media di sini.

Pada 3 November lepas, tiga pengawal keselamata­n di SIC ditahan berhubung kes kecurian berkenaan.

Menurut laporan, insiden kecurian melibatkan beberapa pasukan yang mengambil bahagian dalam MotoGP 2019 dipercayai berlaku pada awal pagi 1 November. Antara paling terkesan dengan kes berkenaan ialah pasukan Angel Nieto, apabila beberapa alat ganti seperti tayar depan, set lengkap penyerap hentak dan brek bagi jentera kelas Moto2 dan Moto3 dicuri.

Ekoran tangkapan terbaharu itu, Zulkifli berkata sebanyak 42 barangan bernilai RM75,300 berkaitan kejadian curi komponen dan aksesori pasukan dalam kelas Moto2 dan Moto3 dirampas di sebuah rumah di Sepang.

Antara barangan itu ialah 26 unit brek, tujuh unit spannar, dua set frame aksesori, dua ‘handrill’, 11 ‘tire watch’, enam botol minyak brek jenama Brembo.

Turut dirampas dua motosikal yang telah diubah suai menggunaka­n komponen yang dicuri dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk membawa keluar barangan curi tersebut, katanya.

Zulkifli berkata pihaknya akan memaklumka­n kepada SIC untuk mengesahka­n barangan yang dirampas serta membuat pengecaman.

“Ini adalah kejayaan polis khususnya kontinjen Selangor memandangk­an isu ini juga tular di media sosial bukan sahaja di dalam negara malah seluruh dunia kerana penganjura­n MotoGP ini adalah acara besar di peringkat antarabang­sa,” katanya.

Menurutnya, siasatan terhadap enam lelaki yang telah ditahan mendapati dua daripadany­a positif dadah jenis Meth manakala dua lagi mempunyai rekod lampau jenayah curi motosikal dan dadah.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata dua lagi suspek yang dipercayai turut terlibat masih lagi bebas yang seorang daripadany­a adalah adik kepada seorang daripada suspek yang ditahan.

“Mereka ini sudah dikenal pasti cuma sekarang ini berada di luar daerah Sepang,” katanya.

Ditanya anggaran nilai barangan curi tersebut di pasaran, beliau berkata komponen dan aksesori itu biasanya dijual di pasaran gelap kepada mereka yang ingin mengubah suai motosikal, dengan memberikan contoh ‘brake calipers’ boleh dijual pada harga RM600 berbanding harga pasaran RM1,000. — Bernama

Ini adalah kejayaan polis khususnya kontinjen Selangor memandangk­an isu ini juga tular di media sosial bukan sahaja di dalam negara malah seluruh dunia kerana penganjura­n MotoGP ini adalah acara besar di peringkat antarabang­sa.

ACP Zulkifli Adamshah

Ketua Polis Daerah KLIA

 ?? — Gambar Bernama ?? HASIL RAMPASAN: Zulkifli (dua kanan) menunjukka­n dua motosikal yang berjaya dirampas dari suspek pada sidang media mengenai tangkapan kes kecurian semasa MotoGP di Litar Antarabang­sa Sepang (SIC) di Ibu Pejabat Polis KLIA dekat Sepang, semalam.
— Gambar Bernama HASIL RAMPASAN: Zulkifli (dua kanan) menunjukka­n dua motosikal yang berjaya dirampas dari suspek pada sidang media mengenai tangkapan kes kecurian semasa MotoGP di Litar Antarabang­sa Sepang (SIC) di Ibu Pejabat Polis KLIA dekat Sepang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia