Utusan Borneo (Sarawak)

Baru mahu jalan dibaiki, keselamata­n dipertingk­at di kawasan Selangau

-

SIBU: Menteri Kerja Raya Baru Bian menggesa Kontrak Pakej Kerja (WPC) yang terlibat dengan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di kawasan Selangau supaya segera membaiki permukaan jalan raya yang rosak di kawasan tersebut serta memperting­katkan aspek keselamata­n kepada pengguna jalan raya.

Menurutnya, semasa melalui jalan tersebut dari Bintulu semalam, beberapa kawasan tidak diselengga­ra dengan baik dan sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya.

Baru juga mengakui bahawa beliau banyak menerima aduan mengenai keadaan jalan di Selangau pada masa ini.

"Semasa melalui jalan itu, 'I went up and down' kerana saya lihat permukaan jalan yang banyak lubang.

"Penghalang di tepi jalan juga tidak mencukupi dan sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya pada waktu malam.

"Selain itu, kawasan selekoh perlu diletakkan lebih banyak tanda isyarat," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Simbolik Penyambung­an Jambatan Durin Sibu, Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sibu, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Selangau menegaskan bahawa gesaan ini bukan hanya untuk kawasan Selangau, malah kepada semua WPC yang terlibat dengan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

Namun, beliau juga memahami akan cabaran yang terpaksa dilalui WPC yang bertungkus-lumus menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo namun mereka tetap perlu mematuhi piawaian tertentu.

"Pada bulan lepas, saya telah melalui jajaran Pan Borneo dari Kuching ke Lubok Antu dan kembali lagi ke Kuching semasa waktu siang dan malam.

"Sepanjang tempoh perjalanan selama enam jam itu, saya tidak berpuas hati dengan keadaan keselamata­n di semua kawasan tersebut.

"Sebab itu saya mahu tekankan, saya tidak akan berkomprom­i mengenai perkara ini," tegasnya.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembanguna­n) Kementeria­n Kerja Raya Datuk Badrul Hisham Mohd, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How, Pengarah Urusan Hock Seng Lee Berhad Datuk Paul Yu, Ketua Komunikasi Korporat LBU Nor Zalida Ahmad, Pegawai Kemajuan Negeri Sarawak Mohd Zaki Mahyudin, Pengurus Projek WPC 07 Liew Hin Leong dan kenamaan lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia