Utusan Borneo (Sarawak)

PKPKM cadang anjur Seminar Rahsia Usahawan Berjaya di seluruh negara

-

BUKIT MERTAJAM: Pertubuhan Kebajikan dan Perpaduan Komuniti Malaysia (PKPKM) merancang untuk mengadakan Seminar Rahsia Usahawan Berjaya di seluruh negara.

Pengerusin­ya, Datuk Arif Shah Omar Shah berkata seminar yang antara lain bertujuan meningkatk­an perpaduan kaum dan modal insan itu akan bermula Januari tahun hadapan dan dijangka berakhir Julai 2021.

“Sejak kebelakang­an ini terlalu banyak eksploitas­i terhadap isu agama dan bangsa yang membuatkan saya rasa perit. Jadi, saya berkata pada timbalan pengerusi saya R.M. Ravichanda­r dan naib pengerusi Ernie Chen untuk jelajah seluruh Malaysia.

“Kami anjur program yang boleh tarik tiga bangsa duduk sekali melalui program-program akademik dan kemasyarak­atan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Rahsia Usahawan Berjaya oleh Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P. Ramasamy di sini, kelmarin.

Beliau berkata lebih 150 peserta terdiri daripada para pensyarah, pelajar tahun akhir dan usahawan-usahawan yang baru mula bertapak dalam bidang perniagaan menyertai seminar itu.

Arif Shah berkata seminar yang berlangsun­g selama tiga jam itu disampaika­n secara percuma oleh Naib Pengerusi PKPKM, yang juga Pakar Strategi Transforma­si Bisnes dan Kehidupan nombor satu Asia, Ernie Chen.

Sementara itu, Ramasamy berharap usaha itu dapat membantu individu yang tidak berpeluang melanjutka­n pelajaran ke peringkat tertinggi untuk memperoleh skil dan pendapatan yang tinggi.

“Jika tiada kelulusan, adakah kita takrifkan mereka sebagai gagal. Disebabkan itulah kita salurkan (mereka) kepada Institusi Kemahiran Awam (TVET). Contohnya, di Pulau Pinang, kita ada Pusat Pembanguna­n Kemahiran Pulau Pinang (PSDC)… asalkan ada minat dan usaha,” katanya.

Dalam pada itu, Ravichanda­r pula berkata pembelajar­an TVET kini tidak lagi dilihat sebagai kelas yang lebih rendah berbanding pengajian di institusi pengajian tinggi kerana para pelajar TVET kini mempelajar­i kemahiran penting dalam memenuhi pasaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia