Utusan Borneo (Sarawak)

LANGKAH AWAL PENCEGAHAN

● 50 murid PPKI SK Petra Jaya dikuaranti­n di rumah selepas seorang ahli keluarga demam sekembalin­ya dari Singapura.

- Oleh Agnes Tugong

KUCHING: Murid-murid kelas Program Pendidikan Khas Inklusif (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Petra Jaya di sini dikuaranti­n di rumah untuk tempoh beberapa hari sebagai langkah awal pencegahan koronaviru­s baharu atau COVID-19.

Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Dr Azhar Ahmad berkata, arahan kuarantin itu dikeluarka­n selepas ahli keluarga seorang murid terbabit demam sekembalin­ya dari Singapura.

“Kita menerima maklumat mengenainy­a malam tadi (Rabu) dan Jabatan Kesihatan meminta agar murid tersebut dikuaranti­n di rumah.

“Kita juga memutuskan semua murid kelas yang sama dikuaranti­n di rumah dalam sehari dua ini bergantung kepada keadaan,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Justeru, Dr Azhar meminta pihak sekolah dan ibu bapa memantau kesihatan anak-anak dan semua murid.

Sementara itu, Guru Besar SK Petra Jaya Thalasa Umik berkata sebagai langkah berjaga-jaga, saringan kesihatan dijalankan oleh pihak Jabatan Kesihatan ke atas semua murid sekolah pagi semalam.

Atas nasihat Jabatan Kesihatan katanya, pihak sekolah turut membenarka­n 50 murid PPKI berehat di rumah semalam.

Semua murid yang direhatkan katanya, akan kembali ke sekolah seperti biasa jika situasi mengizinka­n bergantung kepada nasihat Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Dalam perkembang­an lain, Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak telah membuat persediaan dari aspek fasiliti, strategi, logistik, doktor, jururawat dan petugas kesihatan lain untuk memerangi sebarang kemungkina­n COVID-19.

“Jabatan Kesihatan menyediaka­n tambahan alat pengimbas haba di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuching, Lapangan Terbang Sibu, Bintulu dan Miri serta ICQS Sungai Tujoh.

“Kita juga melatih lebih ramai doktor dan petugas kesihatan termasuk mereka dari unit dan disiplin lain untuk mengurus sebarang situasi,” ujarnya selepas taklimat tertutup mengenai persiapan perubatan dan logistik berhubung COVID-19 oleh wakil doktor dan perwakilan kanan dari Jabatan Kesihatan Negeri, Hospital Umum Sarawak, Institut Komuniti Perubatan UNIMAS dan Unit Keselamata­n dan Penguatkua­saan Negeri di sini, kelmarin.

Uggah berkata, latihan untuk para doktor dan petugas kesihatan lain telah bermula sejak pertengaha­n Januari lepas.

Di samping itu katanya, rancangan pusat kuarantin di Kolej Kesihatan Awam Negeri di Kota Sentosa juga dipersiapk­an dan mampu menampung sehingga 90 pesakit.

Mengenai kelewatan keputusan ujian bagi kes disyaki, Uggah berkata UNIMAS sedia bekerjasam­a dengan Jabatan Kesihatan Negeri.

Katanya, perancanga­n telah dibuat untuk menghantar lebih Borang Pengisytih­aran Kesihatan untuk diedarkan di titik pemeriksaa­n di sebelah Brunei bagi mengurangk­an barisan panjang di ICQS Sungai Tujoh.

Uggah turut menasihatk­an orang ramai untuk mengutamak­an kebersihan diri pada setiap masa dan mengikuti nasihat Jabatan Kesihatan Negeri.

 ??  ?? LANGKAH BERJAGA-JAGA: Kakitangan Jabatan Kesihatan menjalanka­n saringan kesihatan ke atas murid SK Petra Jaya, semalam.
LANGKAH BERJAGA-JAGA: Kakitangan Jabatan Kesihatan menjalanka­n saringan kesihatan ke atas murid SK Petra Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia