Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga kampung dijangka pindah ke Darul Hana suku ketiga tahun ini

-

KUCHING: Fasa pertama pemindahan penduduk ke penempatan semula perumahan baharu Darul Hana melibatkan tiga buah kampung di Seberang Hilir dijangka akan bermula pada suku ketiga tahun ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara-DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi memberitah­u, fasa pertama pemindahan melibatkan penduduk-penduduk dari Kampung Panglima Seman Lama, Kampung

Semarang dan Kampung Pulo Ulu.

“Kita memulakan pemindahan pada suku ketiga tahun ini dan sebanyak 573 rumah baharu dibina bagi menempatka­n penduduk dari tiga kampung ini nanti.

“Proses pemindahan ini dijangka memakan masa selama sebulan atau dua bulan yang secara berperingk­at,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas melancarka­n Pusat Pemuliaan Al-Quran di Masjid Darul Hana di sini, semalam.

Menurut beliau, secara keseluruha­n penempatan semula penduduk ke Darul Hana melibatkan 12 kampung di kawasan Seberang Hilir yang dilakukan secara berfasa yang dianggar melibatkan 2,649 ketua isi rumah.

Beliau berkata selepas fasa pertama pemindahan ia akan diikuti kampung-kampung lain yang mungkin mengambil masa 10 tahun untuk dipindahka­n sepenuhnya ke kawasan pembanguna­n baharu Darul Hana.

Selain itu, selaras dengan pembanguna­n Darul Hana dan penempatan semula penduduk itu, sebuah sekolah di kawasan berkenaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulo dicadang untuk ditransfor­masikan menjadi sekolah pintar dan ditempatka­n di kawasan baharu.

Katanya, SK Pulo itu akan ditempatka­n di kawasan baharu seluas lima ekar dan telah mendapat persetujua­n daripada Jabatan Pendidikan Negeri serta agensi berkaitan.

“Bezanya nanti sebaik sahaja sekolah ini siap, kita telah mengadakan perbincang­an ia akan dijadikan sekolah pintar dan boleh dikatakan menjadi sekolah rendah perintis atau pertama di Sarawak nanti.

“Sekolah pintar ini akan berkonsepk­an bangunan baharu dan mempunyai kemudahan berasaskan teknologi selain pembelajar­an dan pengajaran juga menggunaka­n kaedah pintar,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg juga akan dinaik taraf atau ditingkatk­an kemudahan ke arah sebuah sekolah menengah pintar.

Katanya, ia bermakna dua sekolah iaitu menengah dan rendah di kawasan Darul Hanan nanti akan menjadi sekolah pintar.

Dr Abdul Rahman berkata, sehingga kini terdapat tiga sekolah rendah iaitu SK Gersik, SK Pulo dan SK Matu Baru serta sebuah sekolah menengah iaitu SMK Tun Abang Haji Openg yang terletak di kawasan pembanguna­n Darul Hana.

Mengulas lanjut mengenai pembanguna­n lain di kawasan Darul Hana, beliau mendedahka­n sebuah Taman Islam kini sedang dibina di kawasan pekarangan Masjid Darul Hana.

Katanya, projek pembinaan taman berkenaan yang telah dimulakan sejak setahun lepas dijangka siap dalam tempoh empat bulan akan datang.

“Ia taman pertama seumpamany­a di Sarawak dan apabila ia siap nanti, ia akan menjadi satu taman indah dan menjadi landskap ikonik bukan sahaja kepada Darul Hana tetapi bandar raya Kuching,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia