Polis Kuala Lumpur tahan 158 pemandu mabuk Januari lalu
KUALA LUMPUR: Seramai 158 individu telah ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol di ibu negara sepanjang bulan Januari, kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) ACP Zulkefly Yahya.
Beliau berkata daripada 158 individu yang ditahan, 118 kes telah dituduh dan 40 kes masih dalam siasatan pihak polis.
“Trend pemandu mabuk di ibu negara selalunya berlaku selepas tengah malam dan rekod kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk di ibu negara, tahun lepas cuma satu kes, dan tiga kes pada 2018.
“Unit penguatkuasaan JSPT KL telah ditugaskan untuk menangani masalah pemandu mabuk ini, dan kami bertugas 24 jam sehari, serta menjalankan Operasi Mabuk bagi menangani masalah ini...tiada hari tanpa operasi,” katanya kepada Bernama dalam tembual khas di Balai Polis Trafik di sini, baru-baru ini.
Zulkefly berkata, pada 2019 seramai 828 individu telah ditahan atas kesalahan sama, manakala 735 individu telah ditahan pada 2018.
Jelasnya, berdasarkan Seksyen 45G (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, had kandungan alkohol yang ditetapkan untuk pemandu adalah 35 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas; 80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah; atau 107 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing.
Ditanya mengenai cadangan kerajaan meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta memandu secara bahaya, Zulkefly berkata perkara itu disambut baik pihaknya.
Beliau berkata, pada masa ini, pemandu cuai yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan boleh didakwa mengikut Seksyen 44 yang membawa hukuman penjara antara tiga dan 10 tahun dan denda antara RM8,000 dan RM20,000.
“Kami menyambut baik cadangan ini dan percaya kerajaan mempunyai pelan mereka dalam meminda undang-undang berkaitan, supaya ia bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya.
Pada 29 Jan lepas, kerajaan bersetuju untuk meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat, terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah; serta pemandu yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan maut.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata tiga seksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45 akan dikaji semula, bagi memperketatkan undang-undang sedia ada, dengan hukuman yang lebih berat.
Loke berkata kementeriannya akan memulakan perbincangan dengan pihak berkepentingan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan agensi berkaitan untuk membolehkan pindaan itu dibawa ke parlimen seawal Julai.
Dalam pada itu, Zulkefly mencadangkan pemilik pusat hiburan di ibu negara untuk menyediakan ‘Screening Device II’ (SDII), iaitu satu alat yang membolehkan pengunjung mengetahui tahap alkohol pada badan mereka, dalam usaha mengurangkan kes melibatkan pemandu mabuk.
Beliau berkata menerusi alat tersebut, pengunjung akan mengetahui sama ada tahap alkohol pada badan masih berada di tahap dibenarkan untuk memandu, atau sebaliknya.
“Sekiranya tahap alkohol pengunjung melebihi tahap dibenarkan, pemilik premis boleh mengambil insiatif menasihatkan pengunjung untuk tidak memandu,” tambah beliau.
Zulkefly berkata, penggunaan alat SDII sudah diguna pakai di luar negara, dan tiba masanya premis hiburan di negara ini mengamalkan perkara sama, sebagai langkah pencegahan dan keselamatan. — Bernama