Utusan Borneo (Sarawak)

India bina tembok sebagai persiapan sambut Trump

-

NEW DELHI: Gujarat di barat India membina tembok sebagai persediaan lawatan Presiden Donald Trump pada bulan ini.

Gujarat, yang menjadi tuan rumah lawatan presiden Amerika Syarikat (AS) itu pada 24 hingga 25 Februari ini, mahu menyediaka­n sambutan terbaik untuk Trump ke bandar raya Ahmedabad dengan memastikan beliau tidak melihat pemandanga­n tidak menyenangk­an.

Tembok berkenaan akan menyembuny­ikan pemandanga­n kawasan setinggan yang dihuni lebih 2,500 orang.

Dinding setinggi enam hingga tujuh kaki itu didirikan sepanjang 600 meter bagi menyembuny­ikan kawasan setinggan berkenaan, lapor media tempatan.

Trump dijangka mendapat sambutan hangat di Gujarat, dengan orang ramai akan berbaris di tepi jalan bermula dari lapangan terbang ke stadium, tempat acara “Kem Chho Trump”(“How are you, Trump”) diatur, hampir sama seperti sambutan “Howdy, Modi!” yang diadakan Amerika ketika lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke negara itu tahun lalu.

Pihak berkuasa tempatan membelanja­kan banyak dana untuk mengindahk­an laluan Trump dan rombongann­ya.

Ia termasuk menaik taraf jalan dan bahu jalan serta meletakkan 150,000 pasu bunga, menurut satu laporan.

Bukan suatu yang luar kebiasaan bagi India melancarka­n kempen mengindahk­an kawasan menjelang lawatan pemimpin asing.

Sebelum ini, bandar raya Hyderabad mengusir ratusan pengemis dan didakwa meracun anjing terbiar ketika anak perempuan Trump, Ivanka melawat bandar selatan India itu untuk menghadiri persidanga­n perniagaan pada 2017.

Ahmedabad turut diperindah­kan pada 2017 sewaktu Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan isteri, Akie Abe melawat Gujarat bagi menghadiri sidang kemuncak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia