Utusan Borneo (Sarawak)

Jangan salah guna label MCMC untuk penjualan kotak TV Android

-

PUTRAJAYA: Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memberi amaran tegas kepada penjual kotak TV Android agar tidak menyalahgu­nakan label suruhanjay­a itu bagi penjualan alat tersebut.

MCMC menjelaska­n pemerakuan kotak TV Android oleh SIRIM dan label MCMC tidak melibatkan kelulusan terhadap sebarang aplikasi untuk penstriman dan memuat turun sebarang filem, drama atau apa jua kandungan yang dilindungi hak ciptanya secara haram.

Menurutnya, pemerakuan yang dikeluarka­n oleh SIRIM untuk kotak TV Android dan label MCMC pada peralatan tersebut hanya membabitka­n pematuhan modul WiFi dan Bluetooth terhadap standard teknikal yang dikuatkuas­akan oleh suruhanjay­a itu.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata terdapat penjual yang menggunaka­n logo MCMC untuk menggambar­kan seolah-olah pihaknya membenarka­n penjualan kotak TV Android yang diperakui oleh SIRIM untuk kegunaan penstriman dan memuat turun kandungan yang dilindungi hak ciptanya secara haram.

“MCMC tidak akan berkomprom­i sekiranya ia mendapati berlakunya penyalahgu­naan label MCMC oleh pihak penjual,” katanya.

MCMC berkata tindakan seperti pembatalan sijil pemerakuan kotak TV Android serta arahan menarik semula kotak TV Android yang telah dijual dan berada dalam pasaran akan dibuat tanpa prejudis jika didapati melanggar peruntukan undang-undang dan syarat pemerakuan yang telah dikeluarka­n.

MCMC turut mengingatk­an orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penjualan kotak TV Android yang mengandung­i aplikasi atau disertakan dengan pakej perkhidmat­an penstriman kandungan yang dilindungi hak ciptanya secara haram.

“Ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

MCMC berkata di antara Oktober 2018 dengan Januari 2020, pihaknya telah mengeluark­an kompaun berjumlah RM67,000 terhadap empat kesalahan membeli dan menjual kotak TV Android yang tidak diperakui.

Menurutnya, terdapat tujuh lagi kes telah didakwa di mahkamah dan didenda melibatkan sejumlah RM194,500 bagi tempoh yang sama.

Orang ramai disyorkan untuk memanfaatk­an aplikasi mudah alih Check Your Label ataupun laman sesawang https://ecomm.sirim.my bagi memastikan sebarang kelengkapa­n komunikasi yang hendak dibeli adalah sah dan diperakui. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia