Utusan Borneo (Sarawak)

Pembelian Toyota Camry dibuat setelah penilaian bersama JKR: MB Johor

-

MUAR: Pembelian kereta Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi barisan Exco kerajaan negeri Johor barubaru ini dibuat setelah penilaian dibuat bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), kata Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau mengesahka­n kerajaan negeri telah membeli 15 buah Toyota Camry bagi menggantik­an kereta rasmi dahulu iaitu jenis Honda Accord, yang didapati sudah melebihi enam tahun penggunaan­nya dan perbatuan antara 350,000 hingga 400,000 kilometer serta ada yang sering mengalami kerosakan. Oleh itu penilaian dengan pihak JKR telah dilakukan bagi proses penggantia­nnya, katanya mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim kelmarin yang mempersoal­kan rasional pembelian Toyota Camry bagi kegunaan rasmi barisan Exco kerajaan negeri.

Sahruddin berkata kereta Toyota Camry berkenaan mula digunakan pada Rabu lepas.

“Sebenarnya rancangan untuk penggantia­n kereta baharu ini telah dirancang semenjak tahun lepas lagi (2019) dengan menggunaka­n jenis yang sama (Honda Accord) namun tidak dapat dilaksanak­an kerana beberapa faktor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Taklimat Perluasan Sektor Skim Keselamata­n Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Daerah Muar di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang turut hadir pada majlis itu berkata sejak diperkenal­kan pada 2017, SKSPS kini melibatkan 19 sektor pekerjaan berbanding hanya dua sahaja sebelum ini.

Katanya, di Johor terdapat kira-kira 700,000 orang yang bekerja sendiri namun hanya sekitar 7,000 sahaja yang mencarumny­a.

“Caruman bagi skim ini serendah RM13.10 sebulan atau 43 sen sehari dengan memperuntu­kkan lapan jenis faedah iaitu perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan mayat, pemulihan jasmani atau vokasional dan pendidikan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia