Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: Angka kematian di China melebihi 1,500

-

BEIJING: Angka kematian akibat wabak Novel Koronaviru­s (COVID-19) di China melebihi 1,500 semalam selepas 143 orang lagi meninggal dunia di negara ini, menurut data rasmi.

Suruhanjay­a Kesihatan Negara turut melaporkan 2,641 kes baharu COVID19, dengan majoriti besar di wilayah tengah Hubei yang paling terjejas,

Lebih 66,000 orang sekarang sakit di China akibat sejenis virus baharu yang muncul di bandar Wuhan di

Hubei pada Disember serta merebak ke seluruh negara sebulan kemudian.

Kesemua kecuali empat daripada 143 kematian baharu adalah di Hubei, menambahka­n angka sehingga 1,523.

Pihak berkuasa China telah menempatka­n kira-kira 56 juta orang di Hubei di bawah kuarantin, hampir-hampir menutup wilayah itu dari bahagian lain di negara ini dalam satu usaha yang tidak pernah berlaku dahulu untuk membendung virus tersebut.

Beberapa bandar jauh dari pusat wabak turut melaksanak­an langkah-langkah tegas mengehadka­n jumlah orang yang boleh meninggalk­an rumah mereka, sementara sekolah masih ditutup di seluruh negara serta banyak syarikat yang menggalakk­an pekerjanya agar bekerja dari rumah.

Skala wabak meningkat pada minggu ini selepas pihak berkuasa di Hubei menukar kriteria mereka untuk mengira kes-kes, menambah ribuan pesakit baharu dalam kiraan mereka.

Kes-kes “didiagnos secara klinikal” melalui pengimbasa­n paru-paru sekarang telah dikira sebagai tambahan kepada mereka yang didapati positif dalam ujian makmal.

Penyemakan menambah hampir 15,000 pesakit dalam kiraan di Hubei pada Khamis lepas, dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaska­n bahawa kes yang berlaku selama beberapa minggu telah dikira secara retroaktif.

Terdapat lebih 4,800 kes dilaporkan di Hubei pada Jumaat lepas dan 2,420 pada Sabtu.Jumlah kes baharu yang disahkan telah mulai menurun di luar Hubei, dengan 221 jangkitan dilaporkan semalam.

Pihak berkuasa menyatakan kelmarin bahawa 1,716 pekerja perubatan telah dijangkiti semasa wabak, dengan enam orang telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut.

Kebanyakan jangkitan di kalangan pekerja kesihatan adalah di Wuhan, ibu negeri

Hubei, di mana ramai mengalami kekurangan topeng muka dan peralatan yang sepatutnya bagi melindungi diri mereka di hospital ketika berdepan dengan jumlah pesakit yang ramai.

Angka suram itu muncul seminggu selepas kebimbanga­n dan kemarahan umum meletus ekoran kematian seorang doktor yang menjadi orang pertama memberi amaran mengenai virus pada Disember serta telah ditahan dan diarahkan berdiam diri oleh polis di Wuhan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia