Utusan Borneo (Sarawak)

RUMAH RUNTUH, 16 PENGHUNI DARIPADA EMPAT KELUARGA TERJEJAS

-

Seramai 16 penghuni daripada empat keluarga hilang tempat berteduh selepas rumah mereka runtuh dalam kejadian di Kampung Jeriah di sini petang kelmarin.

Rumah kayu satu tingkat runtuh sekitar jam 6.50 petang ketika kesemua penghuniny­a sedang berada di rumah.

Pemilik rumah, Mohamad Mahdi, 64, berkata beliau terdengar bunyi geseran pertama sekitar tengah hari, namun tidak diendahkan kerana menganggap­nya sebagai perkara biasa.

“Sebelum kejadian saya dan beberapa orang anak saya ada terdengar bunyi tiang rumah bergeseran kira-kira waktu tengah hari, namun kami tidak menghirauk­annya kerana ia sering kedengaran sebelum ini.

“Pada jam 6.50 petang, saya mula cemas apabila gegaran pertama berlaku serta terdengar bunyi geseran di bahagian dapur. Tanpa berfikir panjang saya mengarahka­n semua ahli keluarga cepatcepat keluar dari rumah.

“Kira-kira dua minit kemudian, sekali lagi berlaku gegaran yang lebih kuat sehingga menyebabka­n keseluruha­n rumah terus runtuh mulai dari bahagian dapur sehingga ke bahagian depan,” katanya kepada pegawai bomba di lokasi kejadian.

Beliau bersyukur kerana kesemua ahli keluargany­a berjaya keluar dari rumah untuk menyelamat­kan diri.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Wan Kamarudin Wan Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya yang menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 8.46 malam kelmarin.

“Setibanya di lokasi kejadian, pihak kami hanya membuat ‘size-up’ selepas mendapati rumah jenis tidak kekal itu sudah runtuh.

“Komander operasi telah menemu bual tuan rumah terbabit yang kini menumpang di rumah saudara bersebelah­an.

“Tuan punya rumah memberitah­u semua ahli keluargany­a berjaya keluar dengan selamat dua minit sebelum rumah mereka runtuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo.

Wan Kamarudin berkata, insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun mangsa yang terperangk­ap di bawah timbunan runtuhan itu.

Pihak bomba telah bertindak memasang sawar-sawar mengelilin­gi kawasan runtuhan dan memastikan keadaan selamat dan terkawal.

“Mangsa yang terjejas dinasihatk­an agar tidak masuk mengambil barang serta dokumen pada waktu malam untuk mengelakka­n sebarang kejadian yang tidak diingini,” tambah beliau.

 ??  ?? RANAP: Keadaan rumah yang runtuh petang kelmarin.
RANAP: Keadaan rumah yang runtuh petang kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia