TREND KES POSITIF STABIL

KM rayu rakyat Sarawak terus patuhi arahan PKP dan tinggal di rumah.

Utusan Borneo (Sarawak) - - Muka Depan - Oleh Patricia Gari

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata trend kes jangkitan positif COVID-19 di Sarawak stabil sejak pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 hingga semalam.

Beliau berkata, Sarawak mencatatka­n jumlah kes positif COVID-19 yang agak tinggi iaitu 10 kes pada 21 Mac tetapi menurun kepada lapan (22 mac), enam (23 Mac), lima (24 Mac), empat (25 Mac) dan semalam juga empat.

“Bermakna jumlah jangkitan positif COVID-19 kini menunjukka­n trend stabil dan jika terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ada kemungkina­n selepas 14 hari (pertama PKP) jumlah jangkitan akan menurun… Hari ini (semalam) memasuki hari kesembilan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa.

“Objektif kita ialah mencatatka­n jumlah sifar bagi kes positif COVID19 kalau pun tidak pada hari ke14, mungkin pada hari ke-16 atau ke-17,” ujarnya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Majlis Keselamata­n Negeri yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n KanakKanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

Sehubungan itu, beliau merayu rakyat Sarawak agar terus mematuhi arahan PKP dan tinggal di rumah.

Menurut Abang Johari, majoriti kes positif COVID-19 di Sarawak adalah kes import termasuk tiga beranak yang dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan virus berkenaan baru-baru ini.

“Maka itu kita akan memperkuku­hkan lagi pemantauan dan pengawasan di sempadan negara bagi memantau pergerakan orang ramai rentas sempadan bagi mengelak koronaviru­s ‘diimport’ ke negeri ini,” tegasnya.

Dalam perkembang­an berkaitan, empat kes baharu positif COVID19 yang direkodkan semalam menjadikan sebanyak 95 kes di Sarawak setakat ini.

Sekretaria­t Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menerusi kenyataann­ya berkata tiga daripada kes baharu ini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan satu di Hospital Sibu.

Pada semalam juga, sebanyak 48 kes baharu pesakit disyaki (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruha­n sebanyak 956 kes.

Daripada jumlah itu, 812 kes adalah negatif dan 49 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.

Sehingga kini, Sarawak telah merekodkan lima kematian sejak kes pertama dilaporkan pada 17 Mac lepas.

— Gambar Chimon Upon

PERKEMBANG­AN TERKINI: Abang Johari pada sidang media mengenai COVID-19, semalam. Turut kelihatan Uggah, Masing dan Dr Sim.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.