Utusan Borneo (Sarawak)

235 KES POSITIF BAHARU, JUMLAH KEMATIAN 23

-

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatka­n jumlah kes harian tertinggi selepas 235 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat tengah hari semalam, sekali gus menjadikan jumlah keseluruha­n 2,031 kes dan jumlah kematian sebanyak 23 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarka­n siasatan awal, daripada 235 kes baharu yang dilaporkan semalam, sebanyak 60 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpuna­n di Masjid Jamek Sri Petaling.

“Baki 175 kes masih lagi dalam siasatan dan mungkin berkaitan dengan lain-lain kluster,” katanya pada sidang media harian perkembang­an COVID-19 di sini, semalam.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga kini terdapat 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, selain dua kes yang diumumkan menerusi Facebook Pengarah Kesihatan malam kelmarin dan pagi semalam, terdapat dua lagi kes baharu kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah 23 kes.

Kematian itu melibatkan empat lelaki warga Malaysia berusia antara 48 hingga 76 tahun, dengan tiga mangsa merupakan peserta perhimpuna­n tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, manakala satu lagi mempunyai latar belakang sakit kronik.

“Kes kematian ke-20 melibatkan mangsa berusia 76 tahun yang dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan mulai 18 Mac 2020. Disahkan meninggal dunia pada 25 Mac jam 4.35 petang.

“Kes kematian ke-21 adalah lelaki berusia 63 tahun, dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 23 Mac. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4 pagi, 26 Mac.

“Mangsa kes kematian ke-22 berusia 48 tahun, dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.15 malam, 23 Mac.

“Kes kematian ke-23 berumur 62 tahun dari Kajang. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak mulai 23 Mac 2020. Disahkan meninggal dunia pada jam 12.37 tengah hari, 25 Mac. Kes beliau masih dalam siasatan sekiranya mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumka­n bahawa Perkhidmat­an Kesihatan Ibu Hamil dan Anak adalah berjalan seperti biasa.

“Anggota kesihatan juga akan melaksanak­an perkhidmat­an lawatan ke rumah kepada ibu lepas bersalin untuk memastikan ibu dan anak dalam keadaan sihat. Bagi ibu hamil dan ibu bapa yang berada di luar kawasan, bolehlah mendapatka­n perkhidmat­an di klinik kesihatan/klinik,” katanya.

Justeru beliau menasihatk­an ibu hamil menjalani pemeriksaa­n mengikut tarikh temu janji yang diberikan.

Katanya, perkhidmat­an imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak juga diteruskan seperti biasa dan ibu bapa diminta mematuhi jadual imunisasi dan tarikh temu janji yang telah ditetapkan.

“Kementeria­n Kesihatan ingin mengingatk­an tentang kepentinga­n mematuhi jadual imunisasi kanak-kanak bagi mencegah terjadinya kejadian wabak penyakit cegahan vaksin,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia