Utusan Borneo (Sarawak)

Orang ramai diminta lapor jika terdapat keganasan rumah tangga semasa PKP

-

KUCHING: Persekutua­n Perkumpula­n Wanita Sarawak (PPWS) mengingatk­an orang awam agar melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang keganasan rumah tangga semasa duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Katanya, patuh akan PKP dan duduk di rumah adalah penting untuk menghentik­an pandemik COVID-19, namun PPWS mengambil berat akan wanita yang terlibat dengan keganasan rumah tangga.

“Dalam tempoh PKP ini, mereka yang duduk lama di rumah akan berasa sedikit tegang dan berasa rimas antara satu sama lain.

“Malah, bagi keluarga yang mempunyai rumah dan ruang besar juga boleh tibatiba berasa jengkel apabila duduk di rumah, apatah lagi bagi mereka yang mempunyai rumah atau ruang yang kecil,” jelas persatuan itu menerusi satu kenyataan di sini, kelmarin.

Katanya juga, kanak-kanak yang duduk di rumah sepanjang hari agak cenderung untuk membuat bising dan bertengkar manakala ibu bapa mereka akan membuat hal masing-masing.

“Bagi orang dewasa, mereka cenderung untuk bertikam lidah dan menyuaraka­n isi hati mereka.

“Melihatkan kepada situasi tersebut, PPWS sedar bahawa keganasan rumah tangga boleh berlaku dan para pendera akan lebih mudah untuk angkat tangan terhadap mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, PPWS menyaranka­n agar semua pihak memainkan peranan masing-masing.

“Sekiranya anda mendengar sebarang bunyi keganasan dari rumah jiran anda, anda boleh melaporkan­nya dengan membuat panggilan tanpa menyatakan nama kepada polis.

“Jika anda mengenali seseorang yang berisiko dan terlibat dalam keganasan rumah tangga, sila tanya khabar mereka dengan menghantar teks atau membuat panggilan telefon.

“Anda juga boleh menawarkan kepada mereka (mangsa) untuk tinggal bersama anda sepanjang tempoh ini selain mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu seperti melakukan pengasinga­n diri, sekiranya anda dapat berbuat demikian dan sekiranya mereka bersetuju,” tambahnya.

Walaupun talian telefon SWWS ditutup semasa PKP ini, orang ramai boleh menghantar e-mel kepada SWWS untuk membincang­kan mengenai situasi mereka di sarswws@gmail. com.

Orang awam juga boleh menghubung­i Pertubuhan Pertolonga­n Wanita (WAO) yang berpusat di Kuala Lumpur yang membuka talian TINA 24 jam untuk mesej teks/WhatsApp (018-9888058) dan hotline mereka dari jam 9 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Sabtu.

WAO juga mempunyai maklumat yang berguna di laman web mereka (wao. org.my).

Selain itu, individu yang khuatir akan keselamata­n diri juga boleh menghampir­i One Stop Crisis Centre di semua hospital utama kerajaan. Kanak-kanak berisiko, termasuk yang terdedah kepada gangguan seksual, boleh menghubung­i talian bantuan kerajaan (Talian Kasih) 15999 atau WhatsApp mereka di talian 0192615999.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia