Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19 ragut nyawa sembilan doktor di Filipina

-

MANILA: Sembilan doktor sudah meninggal dunia di Filipina kerana jangkitan COVID-19, kata persatuan perubatan utama di negara itu semalam, manakala hospital mengalami tekanan dan ahli perubatan mengadu tentang kekurangan perlindung­an di barisan depan.

Pengumuman tentang kematian doktor itu memburukka­n lagi kebimbanga­n bahawa skala krisis kesihatan di Filipina adalah jauh lebih buruk berbanding apa yang dilaporkan secara rasmi, dengan bilangan kematian yang disahkan kerana virus itu hanya 38 sahaja.

Pulau utama Luzon, yang mempunyai 55 juta penduduk, memasuki minggu kedua bagi arahan berkurung untuk membendung penularan penyakit itu, tetapi ahli perubatan memberi amaran bahawa kes sudah melonjak.

Persatuan Perubatan Filipina (PMA) semalam berkata doktor kesembilan sudah meninggal dunia akibat virus itu, dan pekerja kesihatan tidak mendapat perlindung­an yang mencukupi.

“Jika ia terpulang kepada saya, periksa pekerja barisan depan terlebih dahulu dan periksa mereka sekali lagi selepas tujuh hari. Doktor sendiri mungkin juga pembawa,” kata Benito Atienza selaku naib presiden PMA kepada AFP.

Tiga hospital besar di Manila mengumumka­n kelmarin mereka sudah mencapai kapasiti penuh dan tidak akan menerima lagi kes COVID19 yang baharu.

Ratusan kakitangan perubatan tidak lagi menerima pesakit kerana mereka sedang menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas disyaki terdedah, kata beberapa hospital terbabit.

Tidak sampai 2,000 orang sudah diperiksa di Filipina setakat Selasa lepas di kalangan mereka yang menunjukka­n simptom teruk dan mereka yang dianggap paling terdedah kepada COVID-19, seperti warga emas, mereka yang mempunyai penyakit yang mengancam nyawa, dan wanita hamil. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia