Utusan Borneo (Sarawak)

Pemimpin dunia adakan rundingan krisis COVID-19

Tatkala pandemik sudah mengorbank­an lebih 21,000

-

MADRID: Para pemimpin dunia mengadakan rundingan krisis dalam talian semalam mengenai pandemik COVID-19 yang telah memaksa tiga bilion orang berkurung dan meragut lebih 21,000 nyawa.

Selepas penyakit itu menular di seluruh dunia dengan kepantasan yang begitu menakutkan, amaran semakin meningkat berhubung kesannya ke atas ekonomi, malah pakar menyatakan ia boleh menyebabka­n kerosakan yang lebih buruk daripada krisis ‘Great Depression’ (Kemeleseta­n Ekonomi Besar).

Sementara pergaduhan berlaku antara para pemimpin China dan Amerika Syarikat (AS) mengenai pihak yang harus dipersalah­kan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres meminta dunia bertindak bersamaasm­a untuk menghentik­an ancaman itu.

“COVID-19 mengancam seluruh umat manusia – dan seluruh umat manusia mesti melawan balik,” kata Guterres, yang melancarka­n rayuan untuk AS$2 bilion (RM9 bilion) bagi membantu golongan miskin di dunia.

“Solidariti dan tindakan global amat penting sekali,” katanya.

“Tindakan negara individu tidak akan memadai.”

Bilangan kematian akibat virus itu, yang muncul di China pada hujung tahun lepas, terus meningkat, dan AS menjadi negara keenam untuk mencecah empat angka.

Sekurang-kurangnya 1,041 orang kini diketahui sudah meninggal dunia kerana virus itu di AS, dengan hampir 70,000 jangkitan yang disahkan, kiraan oleh Universiti Johns Hopkins menunjukka­n, manakala pada peringkat global jumlah jangkitan hampir mencapai setengah juta.

Kadar jangkitan yang melambung tinggi di AS telah mencetuska­n kesibukan untuk membeli senjata, kata pemilik kedai senjata api kepada AFP, selepas pelanggan panik mengenai keruntuhan sosial.

“Ramai orang membeli senapang patah, pistol, AR15 (raifal separa automatik), segalanya,” kata Tiffany Teasdale, yang menjual senjata api di negeri Washington.

“Ramai orang takut rumah mereka akan dipecah masuk oleh seseorang, untuk mencuri wang tunai, kertas tandas, air botol dan makanan mereka.”

Kira-kira separuh daripada populasi AS hidup dalam keadaan berkurung, tetapi Presiden Donald Trump berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa terdekat sama ada bahagian yang tidak terjejas di negara itu dapat kembali bekerja ataupun tidak.

“Kita mahu menggerakk­an negara kita semula,” kata Trump.

“Saya tidak akan membuat apa-apa dengan terburubur­u atau tergesa-gesa.

“Menjelang Paska, kita akan menerima saranan dan mungkin sebelum Paska,” kata Trump, yang telah menjaja ekonomi AS yang mantap menjelang pilihan raya yang akan dihadapiny­a pada November.

Rumah Putih, yang dikritik kerana tindakanny­a yang hambar kepada krisis yang semakin berkembang, berulang kali menyelar Beijing berhubung penyakit itu.

Kelmarin, Setiausaha Negara Mike Pompeo berkata kuasa-kuasa Kumpulan Tujuh (G7) bersatu untuk menentang kempen “maklumat salah” oleh China.

Seorang jurucakap Kementeria­n Luar China menimbulka­n kemarahan Washington apabila dia mendakwa dalam Twitter bahawa anggota tentera AS membawa virus itu ke Wuhan, metropolis di mana ia pertama kali dikesan pada hujung tahun lepas.

Saintis percaya COVID19 datang dari sebuah pasar yang menyembeli­h haiwan eksotik.

“Setiap negara yang ada di mesyuarat itu pada pagi tadi amat sedar tentang kempen maklumat salah yang dijalankan oleh Parti Komunis China untuk cuba mengalih perhatian daripada apa yang telah benar-benar berlaku,” kata Pompeo kepada pemberita.

China “selama ini dan terus terlibat dalam” kempen menerusi media sosial yang turut merangkumi teori konspirasi tentang pembabitan AS.

“Ini adalah cakap-cakap gila,” katanya.

Namun sebarang tanggapan mengenai perpaduan selepas sidang video di kalangan G7, yang turut dianggotai Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun, musnah apabila tiada kenyataan bersama dibuat – selalunya satu formaliti di perhimpuna­n sedemikian.

Laporan membayangk­an kenyataan itu digagalkan oleh desakan Pompeo agar ia menggunaka­n istilah “virus Wuhan” – satu formaliti yang tidak disenangi golongan profesiona­l perubatan yang menyatakan ia menimbulka­n stigma.

Pakar ekonomi berkata pandemik COVID-19, dan arahan berkurung yang menyaksika­n tiga bilion orang diarah duduk di rumah, boleh menyebabka­n kemeleseta­n paling ganas dalam sejarah moden.

“Ekonomi G20 akan mengalami kejutan luar biasa dalam separuh pertama tahun ini dan akan mengecut pada 2020 pada keseluruha­nnya,” kata agensi penarafan Moody’s.

Kadar penganggur­an dijangka akan melonjak, khususnya di negara di mana kadar baru-baru ini berada pada tahap terendah dalam sejarah, seperti Britain dan AS.

Para pemimpin ekonomi utama G20 akan mengadakan persidanga­n maya lewat semalam dibayangi ramalan yang begitu buruk.

“Pada waktu dunia berdepan dengan pandemik COVID-19 dan cabaran kepada sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi global, kita mengadakan sidang kemuncak G20 yang luar biasa ini untuk menyatukan usaha ke arah tindakan global,” ciap raja Arab Saudi.

Arab Saudi kini memegang jawatan presiden G20 yang digilirkan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia