Utusan Borneo (Sarawak)

Bantuan Tabung COVID-19 bukan untuk PKP: NADMA

Ia hanya diberikan kepada pihak yang betul-betul layak mengikut peraturan ditetapkan Kementeria­n Kesihatan Malaysia

-

KUALA LUMPUR: Bantuan Tabung COVID-19 hanya diberikan kepada pihak yang betul-betul layak mengikut peraturan ditetapkan Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM), kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

NADMA dalam laman rasmi Facebookny­a memaklumka­n mereka yang layak adalah yang dikenakan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatia­n Bagi Kontak COVID-19 Di Bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau menjalani rawatan di wad hospital yang dibenarkan oleh KKM untuk merawat COVID-19 (warded).

“Bantuan RM100 sehari itu bukan kepada mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuas­akan dari 18 Mac hingga 14 April seperti yang diuar-uarkan beberapa laman web yang tidak bertanggun­gjawab,” maklum kenyataan itu.

Justeru, mereka yang tiada pekerjaan sebelum dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatia­n, mempunyai pendapatan atau menerima gaji dalam tempoh Pengawasan dan Pemerhatia­n dan hilang mata pencarian sejak kerajaan menguatkua­sakan PKP, tidak layak memohon.

Menurut kenyataan itu lagi, bayaran bantuan juga akan diberikan sekali sahaja (one-off) dalam tempoh penularan jangkitan COVID-19 dan tidak akan diberikan bagi kes yang berulang.

“NADMA juga berhak untuk memutuskan jumlah bantuan berdasarka­n dokumentas­i yang dikemukaka­n atau menolak permohonan yang tidak menepati syaratsyar­at yang ditetapkan,” katanya.

Bagi permohonan bantuan khas itu, mereka boleh memohon dengan memuat turun dokumen-dokumen di laman web www.nadma.gov.my.

Pemohon perlu menyertaka­n salinan borang Perintah Pengawasan Dan Pemerhatia­n Bagi Kontak COVID19

yang telah disahkan oleh KKM serta salinan borang pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatia­n di rumah kediaman bagi kontak jangkitan COVID-19.

“Bagi pemohon yang menjalani rawatan di wad hospital yang dibenarkan oleh KKM untuk merawat COVID-19 (warded) mereka boleh menyertaka­n Sijil Cuti Sakit yang dikeluarka­n oleh hospital yang dibenarkan oleh KKM untuk merawat COVID-19.

“Semua borang perlu hantar secara pos ke ibu pejabat NADMA di Putrajaya memandangk­an proses verifikasi dokumen-dokumen perlu dilakukan dengan terperinci, borang permohonan perlu di hantar secara manual”. katanya

Bayaran bantuan khas itu akan dibuat secara Pindahan Dana Elektronik (EFT) kepada pemohon yang layak dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh penerimaan dokumen permohonan yang lengkap. — Bernama

Bantuan RM100 sehari itu bukan kepada mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuas­akan dari 18 Mac hingga 14 April seperti yang diuaruarka­n beberapa laman web yang tidak bertanggun­gjawab.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia