Utusan Borneo (Sarawak)

Lanjutan PKP diakui meresahkan pekerja bergaji hari

-

SIBU: Lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini telah dilihat menambahka­n keresahan penduduk yang tertekan dalam mencari nafkah untuk menyara keluarga.

Pengerusi Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) Cawangan Rajang Bill Jugah berkata, golongan yang paling terkesan adalah yang bekerja gaji harian dan yang paling ramai di dalam golongan ini adalah penduduk Dayak yang tinggal di bandar.

"Rata-rata mereka ini berhijrah ke bandar dari rumah panjang dengan harapan untuk memperoleh­i kehidupan yang lebih baik tapi malangnya sebaliknya pula yang berlaku.

"Memang benar wabak COVID-19 yang melanda dunia sekarang perlu ditangani menerusi langkah-langkah PKP untuk membendung penularann­ya, tetapi kesan PKP ke atas rakyat terutama yang berada di dalam golongan B40 yang berada di pedalaman dan yang hidup daif tanpa ada pendapatan tetap, telah menyukarka­n lagi pencarian nafkah mereka untuk menyara keluarga," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Walaupun kebenaran pengeluara­n wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, Bill berkata, ini tidak menguntung­kan golongan tersebut kerana ratarata mereka ini tidak memiliki akaun KWSP.

Kerajaan jelasnya, harus mencari jalan untuk meringanka­n beban yang dialami mereka ini.

"Tangguhkan dulu projek mega seperti ERT di kawasan Kuching atau Empangan Baleh dan salurkan dana dari sana kepada golongan yang banyak terkesan," tegasnya lagi.

Menurut Bill, kejadian baru-baru ini di mana pihak polis di sekatan jalan telah mengarah orang-orang yang mahu pulang ke rumah panjang mereka untuk kelangsung­an hidup harus membuka mata pihak berkuasa dan kerajaan akan betapa seriusnya permasalah­an ini dan langkah proaktif seharusnya dilaksanak­an secepat mungkin sebelum tercetusny­a kejadian tidak diingini garagara penduduk yang terdesak dan kecewa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia