Utusan Borneo (Sarawak)

United sedia bayar balik kos tiket baki empat perlawanan kepada pemegang tiket bermusim

-

LONDON, England: Manchester United mungkin membayar semula kos tiket untuk baki empat perlawanan di tempat sendiri kepada penyokong tiket bermusim jika musim ini dibatalkan atau dilangsung­kan tanpa penonton.

Liga Perdana Inggeris telah menangguhk­an musim mereka sehingga sekurang-kurangnya 30 April kerana pandemik koronaviru­s (COVID-19) yang menyebabka­n United Kingdom kini menghampir­i dalam perintah berkurung.

Dengan baki musim masih perlu diselesaik­an ketika ini, United menimbangk­an untuk membayar baki jadual perlawanan yang dijangka tidak akan dilangsung­kan secara normal kepada penyokong setianya (pemegang tiket bermusim), yang melibatkan kos sekitar 6 juta pound.

United mempunyai baki empat perlawanan di tempat sendiri – menentang Sheffield United, Bournemout­h, Southampto­n dan West ham, selain perlawanan pusingan kedua Liga Europa menentang LASK.

Empat perlawanan liga, yang biasa menarik sejumlah 50,000 pemegang tiket bermusim, bermakna kos bayaran semula kepada penonton adalah 1.5 juta pound untuk setiap perlawanan.

Perbincang­an di antara kelab dan kumpulan penyokong masih berjalan dengan Yayasan Penyokong Manchester United memberikan cadangan untuk mewakili pemegang tiket bermusim.

Satu kenyataan menerusi akaun rasmi Twitter Yayasan Penyokong berkata: “Kami sedang berbincang dengan Manchester United berhubung pembaharua­n tiket bermusim dan isu berkaitan dengan pandemik COVID-19. “Kami membangkit­kan isu tetapi mahukan maklum balas dari pemegang tiket bermusim untuk memastikan kami membangkit­kan semua isu penting ketika ini.

“Ia termasuk penangguha­n tarikh pembaharua­n tiket. Impak kesukaran kewangan kerana pandemik ini. Kelayakan untuk skim bayaran ansuran tiket bermusim. Bayaran balik untuk musim semasa jika dilangsung­kan tanpa penonton.”

Sebagai tambahan, seorang jurucakap United berkata; “Berikutan dengan masalah ditimbulka­n dari pandemik COVID-19, kelab menyemak semula tarikh, polisi dan prosedur melibatkan pembaharua­n tiket bermusim untuk musim hadapan, bersama-sama dengan proses pentadbira­n jika baki perlawanan tertangguh ketika ini, sama ada dibatalkan atau dilangsung­kan tanpa penonton.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia