Utusan Borneo (Sarawak)

Tiada kenyataan berhubung nilai makanan disedia kepada rakyat harus bernilai RM100

-

KUCHING:Jawatankua­sa Rantaian Bekalan Makanan menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluark­an sebarang kenyataan berhubung nilai makanan yang disediakan kepada rakyat harus bernilai RM100.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian ekoran terdapat beberapa kekeliruan tentang nilai bekalan makanan yang akan diagihkan kepada rakyat negeri ini.

Jawatankua­sa katanya, telah memutuskan untuk menggunaka­n peruntukan RM16.4 juta yang diluluskan Ketua Menteri untuk memberi bantuan bekalan makanan asas kepada kumpulan sasar mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sarawak.

“Golongan sasaran yang dibekalkan dengann makanan asas ini akan ditentukan oleh Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Bahagian atau Daerah dengan kerjasama agensi kerajaan, pusat khidmat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan,” katanya pada sidang media tentang Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) di Wisma Sumber Alam di sini, semalam.

Awang Tengah yang juga pengerusi Jawatankua­sa Kecil Rantaian Bekalan Makanan berkata, sebelum ini memang ada beberapa wakil rakyat melalui pusat khidmat dan NGO yang prihatin telah membuat inisiatif menghantar barang makanan ke kawasan masing-masing.

“Kita maklum dan menghargai usaha murni ini dan inisiatif tersebut tertakluk kepada kemampuan dan budi bicara wakil rakyat berkenaan dan NGO lain.

“Justeru, isu nilai barang makanan yang diagihkan kepada setiap rumah dan keluarga tidak seharusnya timbul dan dipertikai­kan oleh penerima bantuan makanan ini.

“Objektif utama jawatankua­sa kami ialah untuk memastikan seramai yang mungkin akan mendapat bantuan makanan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, golongan miskin bandar dan mereka yang terputus pendapatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelasnya.

Untuk makluman kata Awang Tengah, bekalan asas makanan di Sarawak adalah mencukupi.

Oleh yang demikian, beliau menasihati para pengguna agar tidak melakukan pembelian panik dan pemborong serta peniaga tidak melakukan aktiviti menyorok barang keperluan asas terutama barang kawalan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia