Utusan Borneo (Sarawak)

Father John Chia meninggal dunia

-

MIRI: Penganut Kristian Katolik di sini meratapi pemergian seorang paderi, Rev Father John Chia Fu Hin yang meninggal dunia jam 10.07 pagi semalam di Hospital Bintulu.

Bapa Uskup Richard Ng berkata, Father John, 49, meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ.

“Father John telah dimasukkan ke Hospital Bintulu pada 29 Mac.

“Beliau berasa tidak sihat selama dua minggu sebelum itu dan kehilangan selera makan.

“Beliau telah dirawat di Klinik Kesihatan di Sungai Asap tetapi keadaannya tidak pulih.

“Beliau kemudian dipindahka­n ke Hospital Bintulu pada 29 Mac dan telah meninggal dunia pada pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Father John dilahirkan pada 26 Februari 1971 di Kampung Medait, Limbang kepada Stephen Chia dan Doreen Aba, berbangsa Bisaya, anak kedua daripada tiga anak lelaki.

Beliau dibaptis pada 26 Ogos 1976 dan belajar di Limbang sehingga tingkatan lima.

Beliau memasuki Miri Diocesan Seminary pada 1990 dan tamat pengajian pada 1996.

Beliau kemudian ditahbis sebagai diakon pada 8 Disember 1996 di Bintulu dan sebagai paderi pada 1 Mei 1997 di Limbang oleh Uskup Anthony Lee.

Beliau telah berkhidmat di Paroki St Michael, Batu Niah dari 1997 hingga 1999 dan di Paroki St Edmund, Limbang dari 2000 hingga 2005.

Beliau kemudian dihantar ke Rom untuk pengajian Liturgi di Institut S. Anselmo dan telah tamat pengajian pada 2008.

Selepas pulang ke tanah air, beliau mengetuai Komisi Liturgi dan dilantik ke Paroki St. Anthony, Bintulu (20082012); Paroki St Edmund, Limbang (2013-2016) dan Paroki Holy Cross, Sungai Asap, Belaga (2016 - sekarang).

“Father John akan diingati sebagai seorang paderi yang rajin dan ceria, yang amat mencintai para penganut.

“Beliau sentiasa melawat para penganut di rumah panjang dan kampung di paroki untuk memberi penjagaan pastoral dan sakramen.

“Beliau fasih dalam beberapa bahasa dan amat dekat dengan para penganut tempatan.

“Beliau juga popular dalam kalangan belia dan beliau menjangkau mereka melalui ceramah motivasi, lagu dan muzik,” kata Uskup Ng.

Beliau mewakili pihak paderi, religius dan umat keuskupan mengucapka­n takziah kepada keluarga mendiang atas kehilangan besar mereka.

“Tidak ada kata-kata yang dapat menyatakan kesedihan dan kejutan kami atas pemergian mendiang secara mendadak,” katanya.

 ??  ?? JOHN CHIA
JOHN CHIA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia