Utusan Borneo (Sarawak)

Perbicaraa­n kes rasuah projek solar Rosmah bersambung 15 April

-

KUALA LUMPUR: Perbicaraa­n kes rasuah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak, akan bersambung di Mahkamah Tinggi di sini pada 15 April.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata mahkamah memindahka­n tarikh perbicaraa­n yang pada mulanya ditetapkan dari 6 April hingga 14 April, susulan langkah kerajaan melanjutka­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April.

“Pihak pendakwaan menerima satu emel hari ini yang memaklumka­n bahawa perbicaraa­n yang dijadualka­n bersambung pada 6 April sehingga 14 April, ditiadakan.

“Lain-lain tarikh perbicaraa­n yang ditetapkan sebelum ini dari 15 April hingga 16, 20 April hingga 23, dan 28 April hingga 30, dikekalkan,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp semalam.

Pihak pembelaan akan meneruskan pemeriksaa­n balas saksi pendakwaan ke12, bekas ketua setiausaha Kementeria­n Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad apabila perbicaraa­n bersambung di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Rosmah, 68, berdepan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatka­n Projek Bersepadu Sistem Solar Photovolta­ic (PV) Hibrid serta Penyelengg­araan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementeria­n Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamanny­a di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah sebelum ini sepatutnya dibicaraka­n bersama dengan Rizal, yang menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek berkenaan, namun pada 8 Jan lepas mahkamah melepas dan membebaska­n Rizal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia