11 individu ingkar PKP didenda RM1,000
KUALA LUMPUR: Sebelas lelaki termasuk sembilan warga asing yang ditahan ketika berjoging di Jalan Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara di sini, masing-masing didenda RM1,000 atau penjara empat minggu jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Warga asing itu terdiri daripada warganegara Britain Jamie Bubb Sacklyn, 28; warganegara Korea Selatan Woo Yum Sik, 54, Lee Jong Young, 50, dan Kwang Suk Lee, 51; warganegara Jepun Koichi Itano, 60, Tanakatohishiko, 61, Mitsuhiru Takayanagi, 51, dan Taichi
Okubo, 36; dan warganegara India, B. Vikram, 48.
Dua lagi ialah warga Malaysia S. K. Ramani, 56, dan Au Yong Vooi Loon, 31.
Majistret Mohammad Aizat Abdul Rahim memutuskan untuk mengenakan denda maksimum bagi kesalahan itu selepas masingmasing mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan dalam bahasa Inggeris.
Mereka dituduh ingkar Peraturan 3(1) PeraturanPeraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 iaitu bersiar-siar dalam kawasan jangkitan di Mont Kiara pada 7.15 malam, 29 Mac lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang mengingkari perintah itu, khususnya dalam keadaan semasa di negara ini.
Semua tertuduh merayu hukuman ringan dan meminta maaf atas perbuatan mereka, menyatakan mereka tidak tahu bahawa adalah satu kesalahan untuk berjoging semasa penguatkuasaan PKP. — Bernama