Utusan Borneo (Sarawak)

Atlet Malaysia di luar negara dibawa pulang sekiranya keadaan memerlukan

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan sukan kebangsaan, bersedia untuk membawa pulang atlet negara yang kini berada di luar negara, sekiranya keadaan memerlukan susulan penularan pandemik COVID-19.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan berkata, KBS bersama MOM dan persatuan sukan, sentiasa memantau perkembang­an dan keperluan atlet negara yang berada di luar negara, dari semasa ke semasa.

Beliau turut menasihatk­an atlet termasuk atlet profesiona­l supaya berdaftar dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia atau Pejabat Konsulat Malaysia yang berdekatan, untuk tujuan perkembang­an dan laporan terkini, sekiranya ada sebarang keperluan kecemasan.

“Semua 48 atlet Malaysia, termasuk atlet profesiona­l dan atlet di bawah persatuan-persatuan sukan yang kini berada di luar negara, berada dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.

Daripada jumlah tersebut, seramai 25 orang berada di bawah program Podium terdiri sukan renang, berbasikal, olahraga, muaythai dan golf, manakala selebihnya merupakan atlet di luar program iaitu lawan pedang, hoki ais, bola sepak, luncur ombak, mendayung, skating, golf, papan selaju dan ragbi.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan telah berhubung dengan atlet masing-masing, untuk mengetahui perkembang­an dan keadaan mereka, selain menasihati atlet terlibat agar mematuhi perintah serta arahan dikuatkuas­akan di negara terlibat.

Katanya, Institut Sukan Negara (ISN) akan terus memantau latihan dan laporan perkembang­an atlet program Podium, antaranya melalui teknologi seperti jam pintar dan kaedah dalam talian.

Beliau berkata, ISN turut menasihati jurulatih dan atlet untuk membuat pengubahsu­aian terhadap program latihan, bagi mengekalka­n kecergasan, fokus serta motivasi mengikut kesesuaian di negara masing-masing.

Atlet Malaysia kini berada di 13 negara iaitu Thailand seramai 15 orang, Amerika Syarikat (12), Australia (tujuh), Jerman (tiga), United Kingdom dan Jepun (masing-masing dua atlet), selain masing-masing seorang atlet di Kanada, Sweden, Perancis, Switzerlan­d, Singapura, Taiwan dan Indonesia.

Reezal Merican berkata, atlet terlibat berada di luar negara disebabkan beberapa faktor, seperti mengikuti pengajian tinggi (16 orang), latihan atau pertanding­an (15 orang), mewakili kelab luar negara sebagai atlet profesiona­l (sembilan orang), bermastaut­in secara tetap seramai tujuh orang, manakala seorang atlet sedang bercuti. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia