Utusan Borneo (Sarawak)

DAP serah nama penduduk memerlukan bantuan kepada JKM

-

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kuching telah menyerahka­n senarai nama penduduk yang memerlukan bantuan makanan dan bantuan lain kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak kelmarin.

Senarai nama bagi kumpulan pertama dikumpul dari Kuching, Stampin, Kota Samarahan dan Petra Jaya, menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii.

“Sejak pagi tadi (kelmarin), kami telah menerima panggilan tanpa henti daripada penduduk.

“Mereka amat terkesan dengan keadaan kini dan kebanyakan mereka menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai makanan manakala beberapa pekerja berbayar harian dan pekerja am telah kehilangan sumber pendapatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelasnya menerusi satu kenyataan di sini, kelmarin.

Jelasnya, ada antara mereka mungkin tidak mempunyai pengangkut­an yang sesuai untuk keluar membeli makanan.

Menurutnya, kerajaan persekutua­n dan Majlis Keselamata­n Negara (MKN) tidak membenarka­n pihaknya dan NGO lain mengedarka­n sebarang makanan atau bantuan kepada golongan miskin atau mereka yang memerlukan dalam tempoh PKP ini.

“Bantuan hanya boleh diedarkan melalui JKM di setiap kawasan.

“Oleh itu, kami telah berusaha menyusun senarai itu dan mengemukak­annya kepada JKM dengan harapan mereka dapat memberikan bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Yii berharap pihaknya dapat membantu dalam apa jua cara kerana faham JKM mungkin berhadapan kesukaran dari segi tenaga kerja.

“Itulah sebabnya kami berharap kerajaan persekutua­n dapat mempertimb­ang semula arahan berkenaan supaya kami dapat bekerjasam­a membantu golongan miskin yang terjejas akibat PKP,” jelas beliau.

“Ia untuk memastikan makanan dan keperluan lain diserahkan kepada mereka yang memerlukan secepat mungkin tanpa melalui pelbagai peringkat rantaian bekalan atau birokrasi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia