Utusan Borneo (Sarawak)

Pusat kuarantin di Mukah akan dibuka jika perlu

-

MUKAH: Pusat kuarantin di Mukah akan dibuka jika ia diperlukan sesuai dengan keadaan semasa.

Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tempat yang telah dikenal pasti dan sesuai untuk dijadikan pusatt kuarantin adalah Kem Belia Mukah.

“Pihak Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersedia jika kita memerlukan pusat kuarantin untuk bahagian Mukah,” katanya pada sidang media setelah selesai Mesyuarat Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah di Bangunan Pentadbira­n Baharu di sini, semalam.

Setakat ini keadaan di Mukah adalah terkawal di mana dua kes positif COVID-19 sebelum ini telah disahkan sembuh sepenuhnya.

Kedua-duanya daripada kluster jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling manakala satu lagi kes yang masih dalam siasatan (PUI) telah menjalani kuarantin 14 hari di rumah.

Mengenai ingkar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya Mukah sehingga kini terdapat sembilan kes iaitu tujuh di Dalat dan selebihnya di Daro.

Semua kes telah dibawa ke mahkamah di mana tertuduh telah mengaku bersalah dan akan dipenjara selama dua bulan, jelasnya.

Fatimah berkata ia menunjukka­n PKP harus dipatuhi rakyat dan tindakan tegas diambil kepada sesiapa yang ingkar.

Katanya pematuhan arahan adalah seperti tidak berada di luar kawasan atau rumah dari jam tujuh malam hingga tujuh pagi manakala perniagaan dibenarkan beroperasi bermula lapan pagi hingga empat petang seperti pasar raya, peruncit terpilih serta pasar tamu dan pasar ikan.

Mengenai keperluan penutup mulut dan hidung di negeri ini, pihak Kerajaan Sarawak telah membuat pesanan sebanyak dua juta keping dari China.

Kerajaan China juga kata Fatimah, telah memberi sumbangan barangan itu namun dalam kuantiti tidak banyak.

“Kita masih nantikan dua juta penutup mulut dan hidung untuk sampai ke Sarawak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia