Utusan Borneo (Sarawak)

Kes positif COVID-19 di seluruh dunia hampir sejuta

Selepas pandemik itu menular pada kadar ‘hampir eksponen’, bayi berusia enam minggu mangsa termuda maut

-

NEW YORK: Jangkitan Novel Koronaviru­s (COVID19) yang disahkan di seluruh dunia hampir mencapai sejuta semalam selepas pandemik itu menular pada kadar “hampir eksponen”, manakala seorang bayi berusia enam minggu menjadi salah seorang mangsa termuda yang diketahui.

Separuh planet mengalami bentuk berkurung tertentu ketika kerajaan berusaha sedaya upaya untuk mengekang virus yang sudah membunuh puluhan ribu orang.

Sekatan itu – walaupun perlu untuk kesihatan – berisiko menyebabka­n kekurangan makanan di seluruh dunia, kata pakar, selepas rantaian bekalan terjejas dan pembelian panik mencetuska­n kawalan eksport.

Bilangan kematian akibat COVID-19 terus meningkat tanpa henti-henti, dengan lebih 46,000 orang diketahui sudah meninggal dunia di seluruh dunia.

Amerika Syarikat (AS), yang kini mencatatka­n hampir sesuku daripada jangkitan global yang dilaporkan, mencatatka­n kematianny­a yang ke-5,000 kelmarin, menurut satu kiraan oleh Universiti Johns Hopkins.

Menurut Presiden AS Donald Trump, keadaan akan bertambah buruk.

“Kita akan mengalami beberapa minggu, yang bermula sekarang, tetapi terutamany­a beberapa hari dari sekarang, yang dijangka dahsyat,” katanya.

“Namun demikian, walaupun pada waktu paling mencabar, rakyat Amerika tidak berputus asa. Kita tidak tunduk kepada ketakutan.”

Antara kematian terbaharu di AS adalah seorang bayi berusia enam minggu yang dibawa ke sebuah hospital di Connecticu­t pada hujung minggu lepas.

“Saringan mengesahka­n semalam bahawa bayi yang baharu lahir itu positif COVID-19,” ciap gabenor negeri Ned Lamont.

“Ini sama sekali menyayat hati.”

COVID-19 khususnya menjejaska­n golongan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada, tetapi beberapa kes baru-baru ini telah mengetenga­hkan bahawa ia dapat menjejaska­n orang dari semua lapisan masyarakat.

Mereka yang meninggal dunia termasuk seorang budak berusia 13 tahun di Perancis, seorang budak berusia 12 tahun di Belgium dan Ismail Mohamed Abdullah yang berusia 13 tahun di Britain, yang mana keluargany­a berkata budak yang “lemah lembut dan baik hati” itu tidak ada isu kesihatan.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesu­s berkata penularan penyakit itu yang begitu pantas amat membimbang­kan.

“Sejak lima minggu lepas, kita telah menyaksika­n pertumbuha­n yang hampir eksponen dalam jumlah kes baharu, mencapai hampir setiap negara,” katanya.

“Jumlah kematian sudah meningkat lebih dua kali ganda sejak seminggu lalu. Dalam tempoh beberapa hari akan datang, kita akan mencapai sejuta kes yang disahkan dan 50,000 kematian.”

Britain dan Perancis melaporkan bilangan kematian harian tertinggi mereka akibat COVID-19 kelmarin, tetapi terdapat tanda yang menunjukka­n wabak itu mungkin sedang memuncak di Eropah.

Jumlah di Itali – yang tertinggi di dunia – melepasi 13,000 manakala Sepanyol melepasi 9,000.

Namun pakar epidemiolo­gi berkata kadar jangkitan semakin perlahan.

Fernando Simon, ketua unit penyelaras­an kecemasan di kementeria­n kesihatan Sepanyol, berkata negara itu mungkin sudah melepasi puncak.

AS semakin pantas menjadi negara paling teruk terjejas, selepas jumlah jangkitan keseluruha­nnya melepasi 215,000.

Lebih tiga suku rakyat Amerika berada dalam keadaan berkurung, termasuk puluhan ribu banduan, yang diberitahu kelmarin bahawa mereka akan diasingkan dalam sel mereka selama dua minggu.

Pegawai turut menutup Grand Canyon untuk menghalang pelancong daripada berkumpul di sana dan New York mengumumka­n gelanggang bola keranjang akan ditutup sementara bandar raya itu menangani jangkitan yang melambung tinggi dan sistem kesihatan yang begitu tertekan.

Gelaran yang tidak diingini Amerika sebagai negara paling dijangkiti dipertikai­kan kelmarin oleh satu laporan Bloomberg, yang memetik maklumat perisikan AS sebagai berkata kadar jangkitan di China adalah jauh lebih buruk daripada apa yang diakui secara rasmi.

China menyatakan ia mempunyai kira-kira 81,000 jangkitan, dan 3,300 kematian.

Ahli Republikan, kebanyakan mereka meragui Beijing, menyerang angka yang diberikan oleh China sebagai “propaganda sampah”.

“Tanpa mengulas tentang sebarang maklumat sulit, perkara ini amat ketara sekali: Parti Komunis China telah berbohong, sedang berbohong, dan akan terus berbohong mengenai koronaviru­s untuk melindungi rejim,” kata Senator Ben Sasse.

Selepas menyebabka­n Olimpik 2020 Tokyo ditunda selama setahun, pandemik kelmarin mempunyai mangsa sukan terbaharu apabila kejohanan tenis Wimbledon dibatalkan.

Pembatalan kejohanan Grand Slam tertua di dunia – buat pertama kali sejak Perang Dunia II – meninggalk­an musim ini dalam keadaan kucar-kacir, tanpa sebarang kejohanan tenis sehingga pertengaha­n Julai.

Roger Federer mendakwa dia “susah hati” dengan berita itu manakala Serena Williams berkata: “Saya terkejut.”

Namun kehilangan acara sukan di dunia maju adalah kecil jika dibandingk­an dengan kesusahan yang dikenakan ke atas mereka di bahagian dunia yang lebih mundur, di mana arahan berkurung mengancam seluruh masyarakat.

Orang yang tinggal di bandar-bandar Afrika Selatan berkata ia adalah mustahil untuk duduk di rumah.

“Kami tidak ada tandas, kami tidak ada air, jadi kita mesti keluar,” kata Irene Tsetse, 55, yang berkongsi sebuah pondok satu bilik di bandar Khayelitsh­a bersama anak lelakinya.

Impak makroekono­mi daripada langkah sedemikian mungkin amat besar sekali, kata pakar.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian, WHO dan Pertubuhan Perdaganga­n Sedunia berkata pembelian panik boleh mengancam bekalan makanan.

“Ketidakten­tuan mengenai kesediaan makanan boleh mencetuska­n gelombang sekatan eksport, seterusnya mewujudkan kekurangan dalam pasaran global,” kata mereka. — AFP

 ??  ??
 ?? — Gambar AFP ?? TATAPAN TERAKHIR: Keranda mengandung­i jenazah mangsa yang meninggal dunia akibat COVID-19 dipamerkan di hadapan anggota keluarga dan pegawai, semuanya memakai penutup hidung dan mulut, di luar rumah mayat di Istanbul, kelmarin ketika wabak berbahaya itu sudah mengorbank­an 200 nyawa di Turki.
— Gambar AFP TATAPAN TERAKHIR: Keranda mengandung­i jenazah mangsa yang meninggal dunia akibat COVID-19 dipamerkan di hadapan anggota keluarga dan pegawai, semuanya memakai penutup hidung dan mulut, di luar rumah mayat di Istanbul, kelmarin ketika wabak berbahaya itu sudah mengorbank­an 200 nyawa di Turki.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia