Utusan Borneo (Sarawak)

KAWALAN LEBIH KETAT PERLU

Risiko penyebaran COVID-19 perlu dibendung di Zon Merah: Uggah

- Oleh Agnes Tugong

KUCHING: Kawalan dan pemantauan yang lebih ketat perlu dilaksana bagi mengurangk­an risiko penyebaran COVID-19 di Zon Merah.

Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 2 telah diumumkan Rabu lepas di mana Daerah Kuching telah diisytihar sebagai Zon Merah dengan 76 kes positif setakat ini.

“Jawatankua­sa Pengurusan Bencana hari ini (semalam) telah mengenal pasti beberapa lokaliti dalam Daerah Kuching yang dikategori­kan sebagai Zon Merah.

“Lokaliti-lokaliti ini melibatkan Semariang (20 kes), Zon 1 (18 kes), Satok (15 kes), Taman Sri Wangi (12 kes) dan Zon 2 (11 kes),” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol.

Bagi lokaliti Semariang yang diketagori­kan sebagai Zon Merah ialah Semariang dan Taman Sukma, Zon 1 (Jalan Arang, Stampin, Jalan Lapangan Terbang, Jalan Song, Taman BDC, Jalan Sutong), Satok (Patinggan/Satok/Sg Maong), Taman Sri Wangi (Taman Sri Wang/Laruh Skim) dan Zon 2 (Central Park, Kenny Hill, Tabuan Laru/SMK Seri Setia/ taman Green Height).

Dalam pada itu, Jalan Datuk Musa (Desa Ilmu/Tanjung Bundong/Muara Tuang) dalam Kota Samarahan turut dikategori­kan sebagai Zon Merah dengan 18 kes positif setakat ini.

Uggah turut merayu rakyat Sarawak supaya memainkan peranan masingmasi­ng supaya situasi tidak menjadi lebih buruk.

“Kita mahu kekalkan lebih banyak Zon Hijau,” katanya menambah mulai 5 April ini sesiapa sahaja yang tiba di negeri ini akan ditempatka­n di pusat kuarantin selama 14 hari.

Dalam perkembang­an berkaitan,

Uggah berkata kebenaran untuk bergerak dari daerah ke daerah hendaklah melalui Balai Polis terdekat berkuat kuasa 3 April sehingga tamat PKP.

Beliau berkata kelulusan yang diperolehi dari Pejabat Daerah sebelum 2 April hendaklah disahkan semula di Balai Polis.

“Sebelum ini kebenaran bagi pergerakan dari daerah ke daerah diperolehi dari Pejabat Daerah.

“Tetapi mulai 3 April, kebenaran untuk pergerakan dari daerah ke daerah hendaklah diperolehi dari Balai Polis Daerah terdekat,” katanya.

Mengenai syarat-syarat bagi pergerakan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman untuk membeli makanan, keperluan harian, ubat atau penokok diet, bagi kes Sarawak, syarat tersebut menurut Uggah dilonggark­an di kawasan luar bandar.

“Pagi tadi (semalam) kita telah bermesyuar­at dan mengemukak­an isu ini kepada Pesuruhjay­a Polis Sarawak bahawa penduduk di luar bandar mesti ada kelonggara­n.

“Kerana untuk penduduk di rumah panjang misalnya mereka tidak boleh mendapatka­n perkhidmat­an klinik dalam radius 10 kilometer dari rumah panjang mereka.

“Pesuruhjay­a Polis Sarawak telah bersetuju untuk memberi kelonggara­n ini kepada mereka di luar bandar bagi tujuan tersebut,” katanya.

Mengenai statistic COVID-19, Uggah berkata Sarawak mencatatka­n satu lagi kematian semalam melibatkan seorang lelaki menjadikan sembilan kematian setakat ini.

Selain satu kes kematian katanya, terdapat 23 kes baharu positif COVID-19 direkodkan semalam.

Ini katanya, menjadikan jumlah kes positif di Sarawak sebanyak 211 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Daripada 23 kes positif tersebut, 21 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dua kes di Hospital Sibu.

“Pada hari ini (semalam) sebanyak 91 kes baharu Orang Yang Disyaki (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruha­n sebanyak 1,379 kes.

“Daripada jumlah itu, 1,082 kes adalah negatif dan 86 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Katanya, kes PUI baharu di Daerah Kuching semalam adalah sebanyak 63 kes yang mana 33 kes disaring di Kompleks Belia dan Sukan dan 30 kes di HUS.

 ??  ?? PENERANGAN: Uggah bercakap pada sidang media semalam. Turut kelihatan Dr Sim (kiri) dan Abdullah (dua kanan).
PENERANGAN: Uggah bercakap pada sidang media semalam. Turut kelihatan Dr Sim (kiri) dan Abdullah (dua kanan).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia