Utusan Borneo (Sarawak)

Tujuh termasuk seorang wanita ingkar PKP didenda

-

MIRI: Tujuh individu termasuk seorang wanita dalam tujuh kes berasingan masing-masing didenda antara RM500 hingga RM650 atau dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan.

Yeo Shee Yee, 46, dari Desa Senadin; Jong Nam Khiam, 55, dari Taman Tunku; Jackson Jalong Robert, 21, dari Desa Indah, Permyjaya dan Bong Chiau Khu, 52, dari Desa Pujut Permyjaya telah didakwa mengikut Peraturan 3 (1) PeraturanP­eraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan dihukum di bawah Seksyen 7 (1) peraturan yang sama.

Turut didakwa mengikut peraturan sama ialah Maureen Lahong Balan, 25, dari Desa Senadin, Mike Serold, 26, dari Sungai Malang, Bakong dan Kip Nasat, 35, dari Sungai Kara, Bekenu.

Mengikut kesalahan ini, kesemua tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, Yee, Jong, Jackson dan Bong didapati telah melanggar PKP dengan keluar dari rumah masingmasi­ng dan pergi ke sebuah pusat servis kenderaan di Bandar Baru Permyjaya yang terletak di kawasan lingkungan jangkitan tanpa alasan munasabah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.40 petang, 30 Mac lalu.

Maureen pula didapati telah keluar dari rumahnya di Piasau pada jam 1.20 pagi, 31 Mac lalu tanpa alasan munasabah.

Sementara itu, Mike dan Kip didapati melakukan kesalahan serupa dengan berjalan keluar dari rumah masing-masing yang terletak di kawasan lingkungan jangkitan tanpa tujuan yang sah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.27 pagi, 31 Mac lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz Mohamed di hadapan Majistret Kasyfurrah­man Abang Ahmad, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia