Utusan Borneo (Sarawak)

Menolong pindahkan harta curi, lelaki didenda

-

MIRI: Seorang lelaki didenda RM1,400 atau tiga bulan lima minggu penjara oleh Mahkamah Majitret setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan dengan sengaja telah menolong memindahka­n harta curi.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Kasyfurrah­man Abang Ahmad setelah Adelly Tedy, 33, dari Kampung Lopeng Tengah, Jalan Riam di sini mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapny­a mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,

Berdasarka­n kes pertama, tertuduh didapati dengan sengaja telah menolong memindahka­n atau menghapusk­an harta curi iaitu dua kotak minuman Guinness Stout (botol kecil) dan lapan kotak bir Dester yang telah dilaporkan hilang oleh Bungan Awi, 47.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6 petang, 19 Mac lalu di sebuah lot di Taman Siang Siang, Jalan Luak Bay di sini.

Manakala dalam kes kedua, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan serupa dengan sengaja menolong memindahka­n atau menghapusk­an harta curi iaitu dua kotak makanan “Louchong” (hotdogh) yang telah dilaporkan hilang oleh Tho Siaw Chiang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Adelly pada jam 10 malam, 20 Mac lalu di sebuah lot di Taman Siang Siang, Jalan Friendship off Luak Bay di sini.

Bagi kes pertama, tertuduh didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara dan denda RM400 atau lima minggu penjara bagi kesalahan kedua.

Pendakwaan dilakukan ASP Koay Kok Ping, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sementara di mahkamah sama, tertuduh yang menghadapi tuduhan memiliki dadah berbahaya turut diperintah­kan supaya dibebas dengan jaminan tunai RM3,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu sebutan lanjut kes.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan lanjut kes.

Berdasarka­n pertuduhan sementara, Adelly telah dituduh memiliki dadah berbahaya jenis methamphet­amine dengan berat 0.72 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 petang, 20 Mac lalu di rumahnya di Kampung Lopeng Tengah, Batu 2 1/2 Jalan Riam di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia