Utusan Borneo (Sarawak)

Pasar tamu, pasar ikan di Bintulu dibuka semula

-

BINTULU: Pasar tamu dan pasar ikan di bahagian ini yang sebelum ini ditutup, kini dibuka semula semalam oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) sekali gus menjadi akses penting untuk penduduk mendapat barang keperluan makanan harian semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini.

Begitupun penjarakan sosial dan prosedur berkaitan keselamata­n kesihatan bagi membendung penularan pandemik COVID-19 amat ditekankan ke atas penduduk yang melakukan urusan jual beli di kawasan itu.

Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi berkata, keadaan Tamu Sungai Plan yang dibuka semula untuk urusan jual beli nampak terkawal kelmarin, teratur namun masih lengang (tiada pembeli).

“Kami berharap situasi ini tidak akan berterusan, jika tidak, kami tidak akan teragak-agak untuk menutupnya (tamu ini)semula,” katanya menerusi hantaran Facebookny­a semalam.

Beliau bagaimanap­un menyeru agar penduduk yang berjual beli di situ mematuhi PKP dan dengan beroperasi­nya Tamu Sungai Plan diharap ia akan memberi kemudahan untuk penduduk di Kidurong dan Sungai Plan mendapat barang di situ tanpa perlu pergi ke Tamu Bintulu di pusat bandar lama sekali gus mengelak kesesakan.

Sementara itu tinjauan keadaan di Pasar Utama, Pasar Ikan dan Pasar Tamu Bintulu pula katanya, keadaan nampak terjaga di mana rata-rata peniaga dan pembeli faham akan keperluan menjarakka­n diri sejauh satu meter.

“Kesemua penjual dan pembeli kelihatan menggunaka­n penutup hidung dan mulut kecuali dua pembeli yang tidak berbuat demikian dan peringatan telah diberi kepada mereka,” katanya.

Bagi peruncit berniaga barang melebihi sempadan yang telah ditandakan, katanya pihaknya telah mengarahka­n mereka mengalih barang-barang jualan dan kesemua peniaga terbabit akur.

“Saya mengingatk­an mereka untuk tidak mengulangi kesalahan itu lagi dan jika perkara yang sama dibuat, kami akan tutup bahagian ini untuk beberapa hari namun mereka akur arahan dan ratarata faham sebab tindakan tegas itu dibuat,” katanya.

Bagi mereka yang berniaga di tapak berdekatan dengan Paragon Bintulu di Kampung Sibiew katanya, semua perlu maklum status kedudukan pasar tersebut yang ditegah oleh Polis Diraja Malaysia(PDRM) dan BDA untuk berjual beli dan tindakan telah diambil ke atas peniaga-peniaga di kawasan ini yang ingkar arahan.

Selain itu, Tamu Simpang 4 di Kampung Jepak turut dibuka untuk penjualan sayur dan ikan bermula jam 2 petang hingga 6 petang semasa tempoh PKP.

 ??  ?? TURUN PADANG: Rodziah (kiri) meninjau keadaan peniaga dan pelanggan di Pasar Utama Bintulu semasa tempoh PKP.
TURUN PADANG: Rodziah (kiri) meninjau keadaan peniaga dan pelanggan di Pasar Utama Bintulu semasa tempoh PKP.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia