Utusan Borneo (Sarawak)

Setiap ADUN perlu diberi biaya khas RM100,000: DAP

-

SIBU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menyeru Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mencontohi kerajaan persekutua­n dengan memberi pembiayaan khas sebanyak RM100,000 kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membantu rakyat di kawasan DUN masing-masing.

Naib Pengerusi DAP Sarawak David Wong menerusi kenyataan media yang die-melkan kelmarin berkata ini adalah masa untuk menyatukan rakyat Sarawak.

“Ketua Menteri harus mencontohi kerajaan persekutua­n dengan memberikan dana khas kepada semua ADUN tanpa mengira perbezaan politik mereka. Tidak ada masa yang lebih baik baginya untuk menyatukan semua rakyat Sarawak.

“Dan tidak ada masa yang lebih baik untuk menggunaka­n sumber-sumber kerajaan yang memberi manfaat kepada semua,” jelasnya.

Wong yang juga ADUN Pelawan berkata, politik tidak seharusnya menjadi faktor perbezaan pada masa ini kerana krisis tidak memahami dan tidak memilih perbezaan politik.

“Ramai penjaja dan peniaga, perniagaan kecil, golongan bekerja sendiri, sakit dan kurang upaya, ibu bapa tunggal dan penganggur tidak mempunyai cukup simpanan selama 14 hari lagi, belum lagi kemungkina­n melanjutka­n tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.

Menurut kaji selidik yang dilakukan Bank Negara Malaysia pada 2017 katanya, hampir 73 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan sebanyak RM1,000 dan 32 peratus rakyat akan kehabisan simpanan dalam tempoh tujuh hari selepas kehilangan pendapatan mereka.

Wong berkata, lanjutan PKP selama 14 hari lagi pasti akan menjejaska­n separuh penduduk dan kebanyakan mereka sangat memerlukan makanan dan barang keperluan seperti susu bayi, gas memasak dan ubat-ubatan.

Tambahnya, wakil rakyat perlu diberi pembiayaan supaya mereka boleh menjaga rakyat di kawasan mereka kerana jentera kerajaan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Kita mempunyai rizab negeri berjumlah RM30 bilion dan rizab itu digunakan untuk kemudian hari dan sekarang kita ditimpa krisis, kerajaan negeri mesti menunjukka­n kepada semua rakyat bahawa mereka menjaga dan semua rakyat Sarawak mesti dijaga,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia