Utusan Borneo (Sarawak)

Kemampuan PSB bertahan diragui dengan adanya pelompat dalam parti

-

KUCHING: Kemampuan Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk bertahan diragui dengan adanya pelompat dalam parti, kata penganalis­is politik Datuk Peter Minos.

Malah menurut Minos, meskipun pengikut pelompat parti turut menyertai PSB, ia bukan jaminan untuk parti tersebut bertahan.

“Parti dan pengundi mahukan kestabilan dan kepastian dan bukannya pelompat kerana sekali ahli politik melompat, tindakan tersebut tidak akan berakhir.

“Jadi saya tidak tahu bagaimana PSB akan bertahan dengan pelompat di dalamnya,” katanya merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan Baru Bian dan ADUN Batu Lintang See Chee How.

Tambah Minos, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak perlu bimbang dengan perkembang­an politik dalam PSB ini.

Di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, GPS katanya telah membuktika­n kemampuan sebagai sebuah parti gabungan yang dapat memimpin Sarawak.

“Rakyat mahukan parti yang dapat memimpin mereka ke tahap yang lebih baik dan bukannya retorik kosong.

“Justeru GPS tidak harus terganggu dengan kritikan pembangkan­g dan fokus kepada usaha membantu rakyat,” katanya.

Sekarang katanya, GPS adalah mesra dengan kerajaan persekutua­n di bawah Perikatan Nasional (PN).

Ini memberi kelebihan kepada GPS untuk membawa lebih banyak kemajuan ke Sarawak tidak seperti ketika kerajaan persekutua­n di bawah Pakatan Harapan (PH).

Mengenai tindakan Baru dan See menyertai PSB, Minos berkata kedua-dua bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut berhak untuk menyertai manamana parti.

Beliau berharap kali ini, Baru telah menemui platform yang tepat dan akan terus kekal bersama parti pilihannya serta tidak bertindak melompat parti sekali lagi pada masa depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia