Utusan Borneo (Sarawak)

Segerakan pindaan undang-undang babitkan pemandu mabuk

-

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyokong sepenuhnya cadangan untuk meminda undang-undang berkaitan kes kemalangan membabitka­n pemandu mabuk yang dilihat semakin meningkat sejak kebelakang­an ini.

Malah MCPF menggesa agar pelaksanaa­n pindaan undang-undang itu disegeraka­n bagi memastikan individu yang melakukan kesalahan itu dijatuhkan hukuman lebih berat dan setimpal pada masa akan datang.

Naib Pengerusi Kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata perkara itu perlu diberi perhatian serius bukan sahaja membabitka­n peruntukan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabka­n kecederaan atau kematian bahkan juga memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan walaupun tidak terlibat dalam kemalangan.

“Sudah tiba masanya undang-undang itu dikaji semula dan dipinda bagi menyesuaik­annya dengan keadaan semasa.

“Penalti atau hukuman di bawah akta sedia ada dilihat tidak memberi kesan kerana terdapat segelintir pemandu yang tidak serik untuk memandu selepas mengambil minuman yang mengandung­i alkohol,” menurutnya dalam kenyataan di sini semalam.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementeria­n Pengangkut­an telah diarah merangka pindaan Akta Pengangkut­an Jalan 1987 (Akta 333) bagi membolehka­n hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia