Utusan Borneo (Sarawak)

Ibu bapa penuntut terkandas di Sudan harap kerajaan Malaysia adakan misi membawa pulang

-

KUALA LUMPUR: Kalangan ibu bapa yang mempunyai anak belajar di Sudan memohon bantuan kerajaan Malaysia untuk membawa anak mereka pulang berikutan peningkata­n kes COVID19 di negara itu.

Wakil ibu bapa berkenaan, Mohd Shah Sapiei berkata terdapat kira-kira 45 penuntut Malaysia yang terkandas di negara itu dan tidak dapat pulang ke Malaysia kerana Sudan telahpun melaksanak­an perintah sekatan pergerakan dan semua lapangan terbang telah ditutup.

“Yang merisaukan kami ibu bapa adalah masalah pandemik ini semakin buruk dari sehari ke sehari. Kami turut difahamkan pelajar di sana memaklumka­n yang keadaan rawatan dan hospital negara itu sangat mendukacit­akan.

“Kami harap sangat kerajaan Malaysia terutamany­a pihak kedutaan dapat adakan satu misi khas segera untuk membawa balik semua pelajar ini kerana kes di sana semakin membimbang­kan,” katanya ketika dihubungi Bernama, malam kelmarin.

Mohd Shah berkata anaknya Muhammad Hafidzin adalah seorang daripada penuntut di Internatio­nal University of Africa, wilayah Khartoum yang terkandas bersama-sama 16 penuntut Malaysia yang lain di Rumah Ettihad Malaysia.

Sementara itu, Muhammad Hafidzin ketika dihubungi Bernama juga memaklumka­n 12 orang daripada penuntut Malaysia yang menetap di Rumah Ettihad Malaysia telah mempunyai gejala COVID-19, namun kini menunjukka­n tanda-tanda semakin pulih.

“Kebanyakan mereka dilihat bergejala sekitar 13 hingga 15 Mei lalu iaitu ketika pertengaha­n bulan Ramadan. Mujur pihak kedutaan Malaysia datang melawat dan beri bantuan ubat-ubatan seperti ubat batuk dan demam.

“Mereka juga ada beri bantuan berupa barangan untuk nyahkuman seperti bahan pembasmi kuman dan Clorox. Terima kasih banyak kami ucapkan buat pihak kedutaan Malaysia kerana prihatin dengan situasi kami,” katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran di laman Facebook Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan pada 18 Mei, 12 orang daripada 17 penuntut Malaysia yang tinggal di Rumah Ettihad Malaysia dilaporkan tidak sihat beberapa hari sebelum itu dan dibimbangi dijangkiti COVID-19.

“Antara gejala yang dialami pelajar ini seperti demam, batuk, sakit kepala, sakit tekak, hilang deria rasa dan kelesuan. Sehingga kelmarin ada beberapa pelajar yang menunjukka­n perubahan semakin pulih demam tetapi masih lesu”.

Dalam hantaran itu juga menyatakan wakil ketua rumah telah menghubung­i pihak hospital yang menguruska­n COVID-19 di Khartoum dan setakat ini semua pelajar itu dinasihatk­an untuk terus kuarantin di rumah selama 14 hari dan rumah itu berada dalam pemerhatia­n pihak hospital.

Menurut laman web worldomete­r.info untuk data setakat semalam, kes positif COVID-19 di Sudan telah mencecah 4,521, dengan kematian direkodkan sebanyak 233. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia