Utusan Borneo (Sarawak)

Usahawan udang galah mohon kerajaan membenarka­n kolam pancing beroperasi

-

SEREMBAN: Seorang usahawan benih udang galah semalam merayu kerajaan memberi kelonggara­n membenarka­n kolam pancing rekreasi dibuka semula dengan janji akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Abdul Auf Hafiz Hasfarudin, 34, berkata semua kolam pancing ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuas­akan 18 Mac lepas menyebabka­n beliau hilang punca pendapatan kerana tiada permintaan udang galah hidup daripada kalangan pengusaha kolam.

Bagi mengelakka­n terus menanggung kerugian, beliau terpaksa melepaskan 600,000 ekor benih udang galah bernilai RM48,000 ke Sungai Rembau semalam kerana tidak mampu lagi menanggung kos operasi.

“Malahan tawaran pemberian secara percuma kepada pengusaha kolam memandangk­an udang itu telah besar dan tidak sesuai diternak di tangki juga tidak mendapat sambutan kerana mereka juga tidak mempunyai duit untuk menanggung kos menternak,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Mengusahak­an pusat penetasan udang galah di kawasan seluas 0.40 hektar di Kampung Chuah, Lukut, Port Dickson, Abdul Auf Hafiz berkata sebelum ini, beliau mampu membekalka­n 1.2 juta ekor benih udang galah bernilai RM90,000 kepada lapan penternak udang galah di negeri ini.

“Sebaik PKP dikuatkuas­akan, ada kalangan penternak membatalka­n tempahan dan saya hanya mampu jual 300,000 ekor benih udang galah bernilai RM22,500 ...satu-satunya jualan saya sepanjang PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya yang turut mempunyai perniagaan kolam pancing udang galah di Kampung Melayu Subang, Selangor dan Batu 8, Teluk Kemang, Port Dickson.

Ditanya mengapa udang itu tidak diproses sebagai udang kering, cencalok atau belacan, Abdul Auf Hafiz berkata ia memerlukan kos yang tinggi ditambah beliau kini tidak mempunyai pendapatan hampir tiga bulan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan Halimi Abu Hanip berkata Abdul Auf Hafiz adalah antara empat pengusaha hatcheri udang galah di negeri ini yang terjejas kerana tidak dapat memasarkan benih ketika PKP dan PKPB dikuatkuas­akan.

“Ada 45 penternak udang galah di Negeri Sembilan yang terkesan sekarang apabila kolam pancing ditutup manakala pengusaha benih seperti Abdul Auf Hafiz pula tidak dapat nak membekalka­n anak benih kepada penternak,” katanya sambil memberitah­u terdapat kirakira 11.5 tan metrik udang galah sedia dituai ketika ini tetapi tidak dapat dipasarkan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia