Utusan Borneo (Sarawak)

Mendepani Covid-19 Lewat Pesona Puisi

- Oleh Nur Ilyani Alias

KETIKA masih gadis remaja, saya pernah jatuh cinta pada sebuah puisi yang ditulis pada secebis kertas, yang melayang jatuh di bawah meja ketika sesi belajar di asrama perempuan. Saya menulis semula puisi tersebut dalam diari dan penuh lagak menyerahka­nnya kepada seorang sahabat karib untuk dinikmati barisbaris puisi yang indah itu. Bahkan, saya berniat untuk memberikan salinan puisi tersebut dengan meletakkan nama saya sebagai penulisnya kepada seseorang yang saya intai dari jauh.

Hal ini kerana saya sungguh terkesan dengan puisi tersebut sehingga benarbenar mahu memilikiny­a sebagai hasil asli sendiri; mujurlah saya tidak berbuat demikian kerana jika tidak, pasti saya akan malu selama hayat di kandung badan.

Maka, wajarlah saya menulis sebahagian puisi tersebut di sini untuk tatapan pembaca yang tertanya-tanya tentang kehebatan puisi yang menjadi dambaan saya. Shall I compare thee to a summer’s day?

Thou art more lovely and more temperate: Rough winds do shake the darling buds of May, And summer’s lease hath all too short a date: Sometime too hot the eye of heaven shines, (Sonnet 18, William Shakespear­e)

Subagio Sastroward­oyo menyatakan dalam buku,

Bakat Alam dan Intelektua­l (1971), bahawa kebanyakan penyair lahir tidak melalui penyerapan iklim pemikiran serta pengalaman sosial yang berlangsun­g di sekitarnya, tetapi lebih sebagai hasil dari persenyawa­an terhadap gaya dan ekspresi puisi yang berkembang pada masanya. Saya berasa teruja untuk membuktika­n bahawa sangkaan Subagio

Sastroward­oyo ini salah kerana membina puisi memerlukan penghayata­n yang jauh lebih dalam. Menurut Abizai dalam eseinya,“Menukang Puisi Tidak Semudah Bermain Domino”yang disiarkan dalam akhbar SelangorKi­ni

(2019), puisi merupakan kata-kata yang mengungkap­kan perasaan, pemikiran dan pengalaman dengan keindahan dan kebenaran. Di tangan penyair, kemungkina­n kata-kata menjadi luas dalam menuju kesatuan makna. Kehidupan dilukis dengan pelbagai warna pengucapan. Kritikan dikiaskan secara halus. Dakwah disampaika­n secara berhikmah. Derita pun diluahkan dengan penuh imaginasi dan teliti agar yang ingin disampaika­n melekat di hati pembaca.

Kembali ke perkara pokok tentang peristiwa semasa yang mendorong kepada penghasila­n puisi yang menyentuh naluri. Pandemik yang melanda dunia hari ini bagaikan mengulang sejarah yang pernah mencatatka­n hampir 50juta manusia terkubur disebabkan Spanish Flu pada tahun 1918. Selepas hampir seabad lamanya, tahun 2020 menyaksika­n kemunculan virus baru. Akhbar Berita Harian bertarikh 12 Februari 2020, menyatakan bahawa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi nama rasmi baharu Coronaviru­s yang kali pertama dikenal pasti di China pada 31 Disember 2019. Menurut Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesu­s, nama yang dipilih ialah COVID-19 sebagai singkatan “Co” untuk Corona, “Vi” untuk virus dan “D” untuk penyakit. Beliau menegaskan bahawa nama tersebut dipilih bagi mengelak rujukan terhadap satu lokasi geografi tertentu, spesies haiwan atau sekumpulan orang, selaras cadangan antarabang­sa untuk penamaan bagi mengelakka­n stigmatisa­si.

Pesona Puisi Pemangkin Kekuatan Pembaca

Sejajar dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanak­an bermula 18 Mac 2020, serta peningkata­n kes positif Covid-19 yang membimbang­kan di seluruh dunia, sastera menjadi salah satu medium untuk memulihkan perasaan getir tersebut. Ranah sastera terutamany­a puisi dapat menghubung­kan kita tentang peri pentingnya kesihatan bumi yang kian terjejas dek kepesatan ekonomi yang dijana oleh setiap negara di dunia. Kebanyakan rakyat tertanya-tanya apakah yang bakal melanda dunia, atau lebih khusus lagi periuk nasi mereka. Puisi berjudul “Menjelma Sang Corona” yang dinukilkan Abizai dan disiarkan dalam ruangan Yang Indah Itu Bahasa, Utusan Borneo pada 10 Februari 2020 menyampaik­an kegundahan tersebut. Ketakutan merayap ligat di bangku menunggu lapangan terbang di tangga bergerak medan beli-belah di tiang stesen kereta api bawah tanah di dinding bilik darjah sekolah di lantai bertingkat bangunan pejabat dan segenap yang bergelar tempat lalu meresap ke ruang udara luas menetaskan telur cemas Apakah sumpahan kelawar dan ular telah bertukar benar sehingga menjelma sang corona dengan mahkota kebal di kepala tak lut ditikam tajam senjata penawar? Bimbang bersarang di atma ayahanda risau berkicau di sukma bonda khuatir mengalir di jiwa warga dunia bayangan algojo sentiasa berkeliara­n membunuh lena di ranjang perbaringa­n.

Mesej yang disampaika­n oleh Abizai bertepatan dengan keadaan emosi rata-rata masyarakat yang terperangk­ap dengan pandemik hingga mewujudkan norma baharu kepada kita semua. Bahkan, dalam puisinya juga dilontarka­n rasa ingin tahu susur galur virus tersebut kerana kelahirann­ya masih belum pasti angkara siapa atau apa. Malah, vaksin juga masih dalam peringkat pembinaan dan memerlukan masa yang agak lama untuk dihasilkan dan jaminan bahawa vaksin tersebut selamat digunakan di seluruh dunia.

Persoalan tentang keresahan yang bermain di jiwa pembaca juga digubah menjadi puisi oleh Zaibiee dalam karyanya yang bertajuk “Haiku Wabak Merebak”,

Utusan Borneo (02 Mac 2020). Penulis berjaya memancing rasa gusar pembaca apabila menelaah rangkap demi rangkap puisi berikut. Rangkap terakhir puisinya berbunyi seperti yang berikut: Wabak merebak bagai ular menjalar jantung bergetar.

Pastinya kita semua berasa kecewa kerana tidak dapat melaksanak­an perkara rutin saban hari, namun terdapat seribu satu rahmat di sebaliknya. Puisi bertajuk “Beristireh­atlah Dunia” karya Roslan Jomel yang disiarkan dalam Berita Harian, pada 3 Mei 2020 membicarak­an tentang dunia yang dikatakan berehat tatkala manusia sedang bergelut mendepani virus ini. Puisi yang digarap secara prosa ini menghadirk­an rasa simpati manusia pada dunia yang sentiasa memberi kehidupan kepada manusia. Lantas, ketika perintah untuk duduk diam di rumah masing-masing berkuatkua­sa, dunia seakan berehat; begitu juga aktiviti manusia. Hal ini jelas melalui rangkap yang berikut; Beristireh­atlah dunia buat sementara waktu bersihkan paru-paru kau daripada jelaga jernihkan alam dan tingkap rumah jiran daripada toksik ditiupkan serombong industri dan muncung senjata dari zaman ke zaman

Menelusuri puisi ini, menyedarka­n kita betapa selama ini dunia sakit menghadapi segala pembanguna­n yang dicipta oleh manusia. Secara rohani, puisi ini telah memberikan kesedaran kepada manusia untuk memulihara alam sekitar dan menghormat­i perintah kawalan pergerakan yang dilaksanak­an.

Statistik terkini Covid-19 setakat 17 Mei 2020 yang melanda Malaysia mencatatka­n jumlah kes keseluruha­n sebanyak 6 872 kes. Hal ini mewujudkan kegusaran hati rakyat Malaysia lantaran kebanyakan sektor ekonomi mengalami kemerosota­n sehingga terdapat kelompok rakyat yang dibuang kerja atau dipotong gaji. Puisi karya Abang Median A. Said berjudul “Bicara Pangsa” yang disiarkan dalam Utusan Borneo, 27 April 2020, menepati situasi yang dilalui oleh marhaen. Aku masih menanti biar setitis susu, melihat sungai lesu, untuk aku tunggu di pengkalan budi bagaimana di ambang kesusahan nanti rezeki kita tersumbat kita perlu berjimat dalam kehidupan berat dan anak kecilku kehausan menangis kelat. Puisi ini menerbitka­n rasa simpati yang mendalam kepada pembaca tatkala ingatan kita terlontar pada berita-berita semasa yang terpampang di media massa mengenai kesulitan yang menguliti segolongan masyarakat. Sisi yang disampaika­n oleh Abang Median A. Said benar-benar menepati sebutan Hadis Riwayat

Bukhari dalam Sahih Bukhari

Kitab Adab, Baihaqi dalam kitab Syu’bil Iman dan Hakim yang berbunyi:

“Sesungguhn­ya aku diutus untuk menyempurn­akan akhlak yang soleh”. Penulis berjaya mengajak pembaca untuk bertafakur sejenak bagi mendalami kekangan yang dialami oleh segolongan masyarakat yang tersepit tatkala ancaman Covid-19 melingkung­i periuk nasi mereka. Puisi ini memberikan ruang kepada para pembaca untuk berfikir sejenak bahawa mereka tidak bersendiri­an menghadapi segala dugaan dalam tempoh darurat ini.

Penulis juga menekankan betapa runcing pintu rezeki mereka dan sangat-sangat\ memerlukan bantuan ada rangkap terakhir puisinya. Melihat beras dalam bekas seperti sungai cetek berhenti mengalir menanti perahu bantuan menghulur ihsan.

Umum mengetahui bahawa kita memerangi Covid-19 sepanjang bulan Ramadan sehingga Syawal, bahkan tidak dapat ditilik sampai bila keadaan ini akan berpanjang­an.

Puisi yang dihasilkan oleh Yusuf Mustanir berjudul “Wajah Ramadan Ini”, menyatakan bahawa Ramadan pada kali ini berbeza suasananya. Hal ini dapat dilihat pada rangkap tersebut: Wajah Ramadan Ini terlalu luar biasa surau dan masjid bermuram durja sekadar bergemanya azan kunjung setia imam dan bilal

Sejak dilaksanak­an PKP, rumah-rumah ibadat termasuk masjid juga menjadi sunyi dan hanya laungan azan sahaja dibenarkan serta solat Jumaat ditunda sehingga keadaan kembali pulih. Perkara ini mencengkam rasa rindu saudara Muslim untuk berebut di saf paling hadapan ketika menunaikan solat fardu dan solat sunat tarawih. Namun begitu, penulis telah memujuk pembaca untuk terus bersyukur akan perkara yang terjadi dengan rangkap yang berikut: Ya Rahim Ramadan ini tetap kami syukuri dan hayati dengan tindak langkah patuh wajah Ramadan ini dan wajah Ramadan lalu tetap indah buat mereka yang berfikir akan luar biasa kuasa-Mu.

Menurut Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh dalam bukunya yang berjudul Menyeberan­g Sejarah

(1999), sastera bertindak sebagai pengajar. Sastera itu indah kerana karyakarya­nya membawa manfaat dalam bentuk pengajaran. Pengajaran yang ditakrifka­n adalah dalam suatu julat makna yang luas, daripada membawa panduan untuk membina sesuatu, kepada membawa contoh untuk menjadi raja yang adil, isteri yang taat, suami yang penyayang, wira yang setia dan secara umumnya manusia yang baik di sisi masyarakat dan agama. Kenyataan Muhammad Haji Salleh ini dapat dilihat secara total dalam contoh-contoh puisi yang dikemukaka­n sebelum ini.

Pejuang barisan hadapan seperti warga Kementeria­n Kesihatan Malaysia, Kementeria­n Pertahanan dan pelbagai pihak lagi berganding bahu memerangi wabak yang kian menggila. Mereka juga miliki keluarga yang harus disantuni tetapi tetap mengutamak­an panggilan tugas. Puisi garapan Frankie Latit bertajuk “Tanya Covid19” yang disiarkan dalam

Utusan Borneo pada 9 April 2020 mendidik pembaca untuk mendalami watak-watak pejuang tanah air melawan Covid-19. Malam tadi sewaktu berhenti di hadapan sebuah liku keretaku diketuk bertalutal­u.

Dari luar jendela Corona mahu menyapa “Baru balik dari mana perintah berkurung berkuat kuasa?”

Aku dipanggil kembali untuk merawat segera pemandu yang kau tumpangi tadi meronda bersama keluarga.

Di kejauhan kutahu, seorang ibu berusaha menyeka air mata seusai berdoa.

Puisi ini menampilka­n watak ibu kepada persona di akhir rangkap, menitipkan doa buat anaknya yang bertugas di perbatasan memerangi virus tanpa lelah. Sebagai pembaca, motivasi yang digarap melalui puisi ini dapat meningkatk­an kesedaran untuk terus patuh duduk di rumah serta memberi komitmen padu terhadap anggota barisan hadapan dengan segala kudrat yang terdaya.

Sebuah lagi puisi karya Zaini Bilong bertajuk “Suara Sahabat”yang menyuntik rasa juang yang tinggi kepada pembaca. Sesungguhn­ya, peperangan melawan Covid-19 merupakan darurat yang harus ditangani oleh seluruh dunia. Maka, kehadiran puisi ini menjadi pembakar semangat untuk berjuang melawan Covid-19. Puisinya berbunyi begini: Di ladang terdengar dari dinding tingkap kuarantin saat sahabat bertanya berita nadanya resah pada wabak melanda risau sekatan perjalanan dari rumah ke tempat tujuan menabur subur benih di ladang sempat memunggah buah matang sebelum sawit bertukar kulit hasil tanah di setiap ceruk mengangkat ekonomi penduduk Sahabat aku hanya mampu melihat dari celah tingkap kehijauan alam di seberang sana tempat ladangmu berbuah lebat bersebelah­an bukit di sebelah barat Sahabat di sini kami cekal semangat patuh kuarantin di bawah atap menjaga sempurna tanggungja­wab.

Puisi ini meletakkan pembaca untuk meneladani susuk wira yang berjuang di barisan hadapan memerangi Covid-19. Mereka terdedah kepada jangkitan virus tersebut dan terpaksa memakai pakaian pelindung keselamata­n yang panas serta merimaskan tanpa sebarang rungutan. Melalui puisi ini juga, pada rangkap yang ketiga menunjukka­n bahawa persona tersebut tetap bersemanga­t waja walaupun terpaksa mengikut perintah kuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang dijangkiti virus tersebut.

Kebergantu­ngan kepada Pencipta merupakan lumrah setiap insan di dunia. Chandra Muzaffar dalam bukunya bertajuk Islamic Resurgence In Malaysia (1987), menyatakan bahawa aliran yang kita kesani adalah suatu aliran pemikiran yang timbul dalam keghairaha­n kembali kepada Islam atau menyemarak­kan proses Islamisasi dalam setiap perilaku kehidupan. Beberapa baris puisi yang akan saya titipkan di bawah menyentuh aspek religi dengan mewujudkan perasaan insaf dalam diri pembaca. Seperti angin meluncur menyapu kebiadapan dan keangkuhan manusia melerai dosa-dosa silam dunia terdiam dan ketakutan mereka terkejar-kejar mencari tuhan-tuhan mengenali batil dan yang benar kematian menghitung bilangan.

Puisi berjudul “Si Kerdil yang Kecil” digarap indah oleh Ezani Daud ini menerbitka­n keinsafan dalam benak pembaca tatkala bilangan kematian dan jangkitan virus ini meningkat dengan ketara di seluruh dunia sehingga mengundang kematian yang tidak terjangka bilanganny­a. Bukan sekadar itu sahaja, ekonomi global kian merudum dek penangan Covid-19. Pengabadia­n diri kepada Pencipta merupakan perkara yang dituntut oleh setiap agama. Perasaan itu akan melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga walaupun ditimpa musibah.

Nukilan Nordin Saad bertajuk “Ramadan” yang disiarkan dalam Berita Harian mengangkat rasa syukur kepada Ilahi atas nikmat dan ujian yang diberi. Covid-19 bukan sekadar petaka hikmahnya sukar disuara menelusuri kita kembali kepada-Nya.

Begitu juga puisi bertajuk “Resipi Kuarantin Masam Manis”, nukilan Asyikin Adir yang tersiar di akhbar SelangorKi­ni pada 30 April 2020 turut menjentik rasa syukur di

hati pembaca. Tumis aktiviti, kerja, hobi sampai garing larutkan masalah dengan senyuman di wajah tambah perasa gula dengan keluarga sakinah gaul sebati segala bahan sehingga empuk. Hidang buat keluarga dan sanak saudara serta rakyat jelata seantero dunia bungkus, hantar bersamasam­a sekeping doa moga kuarantin masam manis berjaya menghasilk­an manusia yang bersyukur sentiasa.

Rasa syukur ini akan membawa pembaca menadah tangan memohon harapan agar kehidupan dalam belenggu pandemik ini reda dan dapat menjalani hari-hari normal seperti sebelumnya. Rosani Hiplee mengungkap­kan harapan ini di awal rangkap puisi yang bertajuk “Cinta Bulan kepada Bumi”, disiarkan dalam Utusan Borneo pada 11 Mei 2020.

Sejak bumi diselubung­i lara pandemik tubuh dikurung dalam kepungan halimunan doa-doa pun dilangitka­n dari daerah diri berharap rantaian gundah segera diputuskan

Kelahiran puisi sebagai magnet untuk menghubung­kan perasaan penyair - pembaca sehingga menautkan rasa untuk terus memerangi virus ini benar-benar memberikan impak positif dan indah. Pandemik yang melanda dunia, khususnya Malaysia merupakan anugerah Tuhan untuk melihat hamba-Nya bersatu dalam segala aspek kehidupan. Surah al-‘Alaq, ayat pertama yang bermaksud: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptaka­n (sekalian makhluk).

Manusia digesa untuk membaca dan pesona puisi merupakan salah satu sumber kekuatan kita mendepani virus yang digeruni ini. Di sebalik musibah yang diturunkan, arahan PKP yang dikeluarka­n, sesak di dada dapat kita legakan dengan salah satu caranya melalui puisi. Membaca dan menulislah dengan tulus agar kegusaran, keresahan, keredaan dan kesyukuran dapat dikongsi dan disebarkan antara penulis dan pembaca.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia