Utusan Borneo (Sarawak)

Polis tumpas Geng David, tahan lapan lelaki termasuk ketua

-

BAGAN SERAI: Polis menumpaska­n Geng David yang terlibat dalam kegiatan jenayah samun barang kemas dan mencuri kenderaan di sebuah rumah di Ladang Soon Lee, di sini, pada 14 Mac lalu, selepas lapan ahli termasuk ketuanya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata kesemua ahli geng lelaki yang berumur lingkungan 29 hingga 45 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Bagan Serai, antara 29 Mac hingga 21 Mei lalu.

“Bertindak daripada risikan dan siasatan polis, ahli geng itu dan ketuanya yang berumur 29 tahun telah ditahan di sekitar kawasan Bagan Serai di sini dipercayai terbabit dalam kes samun berkawan bersenjata di Ladang Soon Lee selain menemukan satu loket emas yang telah digadai di sebuah kedai pajak gadai di Ampang, Selangor.

“Hasil siasatan lanjut, polis turut menemukan sebuah kereta Perodua Myvi yang telah dileraikan di sebuah bengkel di Simpang, Taiping,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di sini semalam.

Katanya, dalam kejadian pada awal pagi 14 Mac lepas, empat lelaki dipercayai ahli geng tersebut yang bersenjata­kan parang dan memakai topeng telah memasuki rumah di ladang berkenaan, selepas mangsa membuka pintu belakang apabila mendengar bunyi anjing peliharaan­nya menyalak.

“Kesemua suspek telah menyerbu masuk ke dalam rumah dan mengawal empat sekeluarga yang mahu menikmati sarapan pagi. Suspek telah mengambil barang kemas selain melarikan diri dengan kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa dengan anggaran kerugian RM57,000,” katanya.

Beliau berkata dengan tangkapan itu, polis percaya telah menyelesai­kan kes samun tersebut selain hasil siasatan mendapati kesemua suspek terlibat dengan kes samun di Kulim, Kedah dan pecah kedai di Ampang, Selangor.

“Ketua kumpulan itu dan beberapa lagi anggota telah didakwa di mahkamah Parit Buntar dan beberapa suspek kumpulan itu diserahkan kepada polis di Ampang, Selangor bagi membantu siasatan kes di Ampang,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Omar Bakhtiar berkata polis menahan dua beradik dan dua lagi remaja selain merampas dua buah motosikal dan dua komponen enjin motosikal kerana terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di rumah masing-masing di sekitar Titi Serong pada 5 petang, 26

Mei lalu.

Katanya, empat remaja lelaki yang berumur 15 hingga 18 tahun itu ditahan kerana terbabit dalam tiga kes mencuri motosikal membabitka­n kerugian hampir RM5,000 yang dilaporkan di Tanjung Piandang, Simpang Lima dan Kuala Kurau.

“Siasatan polis mendapati modus operandi kumpulan remaja yang diketuai seorang remaja berumur 15 tahun akan meronda di sekitar kawasan perumahan dan melihat mana-mana motosikal yang tidak berkunci untuk dicuri. Motosikal yang dicuri akan dileraikan dan rangka di buang ke dalam tali air di Simpang Lima manakala bahagian enjin, rim dan fork disimpan untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Menurutnya, remaja terbabit sudah didakwa di Mahkamah Majistret Parit Buntar mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan masih menunggu laporan juvana sebelum dijatuhkan hukuman. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TUMPAS: Omr Bakhtiar (dua kanan) dan Timbalanny­a DSP Roslan Mohamed (kiri) menunjukka­n dua motosikal dan dua enjin yang dilerai sekumpulan empat remaja bawah umur yang terbabit tiga kes curi motosikal di daerah Kerian dalam sidang akhbar kes curi dan samun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dekat Bagan Serai, semalam.
— Gambar Bernama TUMPAS: Omr Bakhtiar (dua kanan) dan Timbalanny­a DSP Roslan Mohamed (kiri) menunjukka­n dua motosikal dan dua enjin yang dilerai sekumpulan empat remaja bawah umur yang terbabit tiga kes curi motosikal di daerah Kerian dalam sidang akhbar kes curi dan samun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dekat Bagan Serai, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia