Utusan Borneo (Sarawak)

Gerbang Malam di Ipoh dibuka semula, peniaga bergilir setiap hari

-

IPOH: Kerajaan negeri hanya membenarka­n 60 daripada 128 peniaga menjalanka­n perniagaan secara bergilir setiap hari di Gerbang Malam yang merupakan antara tarikan di bandar raya ini, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selain itu setiap gerai yang dibenarkan beroperasi perlu berjarak tiga meter antara satu sama lain bagi memastikan jarakan sosial untuk mengelak penularan wabak COVID-19.

“Selain itu, tidak kira siapa yang memasuki kawasan ini juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengambil suhu badan, memakai pelitup muka dan mengikut aliran jalan yang telah ditentukan oleh Pihak

Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya di sini, malam kelmarin.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau Gerbang Malam yang dibuka semula setelah ditutup sejak 18 Mac lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan. Hadir sama Pengerusi Jawatankua­sa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelanconga­n negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi serta Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Ahmad Faizal berkata, walaupun mengalu-alukan kehadiran orang ramai, namun pihaknya tidak menggalakk­an warga emas dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun untuk mengunjung­i kawasan berkenaan kerana mereka merupakan golongan berisiko dijangkiti COVID-19.

Dalam pada itu, Ahmad

Faizal berharap orang ramai sentiasa peka dan tidak mengambil mudah setiap SOP yang ditetapkan walaupun pelbagai kelonggara­n telah diberikan oleh kerajaan sepanjang tempoh PKPP.

“Untuk jangka masa sekarang ini kita masih dalam PKPP, kita masih terus perlu berhati-hati dan nasihat daripada pihak berwajib perlu terus kita patuhi,” katanya.

Sementara itu, Rumaizi memaklumka­n pihaknya bersetuju untuk memanjangk­an tempoh operasi pasar malam di Ipoh bermula dari jam 4 petang sehingga 10 malam berbanding setakat 7 malam sebelum ini selepas dibenarkan dibuka semula di bawah PKPP.

Tambahnya, waktu Gerbang Malam pula kekal beroperasi dari 5 petang hingga jam 12 tengah malam dalam tempoh PKPP. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia