Utusan Borneo (Sarawak)

Pesakit asimptomat­ik mungkin penyebab jangkitan: Pengerusi SRA

-

KUALA LUMPUR: Rumah Perlindung­an Orang Tua, Pertubuhan Sukarelawa­n Agensi Bantuan Selangor (SRA) semalam menafikan penularan wabak di rumah penjagaan itu dan percaya punca jangkitan seperti yang diumumkan Isnin lepas berpunca daripada seorang penghuniny­a, yang merupakan pesakit asimptomat­ik (tanpa simptom atau gejala) COVID-19.

Pengerusin­ya, Sharil Hussein berkata beliau percaya jangkitan berlaku apabila terdapat kontak rapat antara seorang penghuni lelaki berusia 51 tahun, yang pulih COVID-19 dan dibenar keluar Hospital Sungai Buloh pada 3 Jun dan seorang lagi penghuni yang berada di hospital sama bagi masalah hipertensi.

“Kedua-duanya menaiki ambulans yang sama ketika dihantar pulang ke rumah penjagaan. Jadi berlaku kontak rapat,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata seorang lelaki berusia 69 tahun diuji positif virus itu selepas dimasukkan ke Hospital Tanjung Karang bagi masalah pernafasan.

Beliau berkata kes baharu itu adalah sebahagian daripada kluster yang dikesan di rumah perlindung­an orang tua, yang sebelum ini mengesan dua kes, melibatkan seorang penghuni dan penjaga kepada pesakit itu, pada Mei.

Dr Noor Hisham berkata sumber jangkitan masih lagi disiasat dan pengesanan kes aktif serta kerja-kerja sanitasi dan pembersiha­n sedang dijalankan di rumah penjagaan itu.

Kesemua 18 kakitangan dan 24 penghuni di rumah penjagaan itu turut menjalani saringan kali ketiga.

Menurut Sharil pesakit pertama adalah asimptomat­ik apabila diuji positif pada 16 Mei dan kemudian dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk dikuaranti­n dan dirawat.

Pesakit itu pulih sepenuhnya dan dibenar keluar hospital pada 3 Jun dan meneruskan kuarantin di rumah perlindung­an itu manakala pesakit kedua ditempatka­n di bilik bersebelah­an untuk pemerhatia­n dan kedua-duanya dipisahkan daripada penghuni lain, katanya.

Keesokanny­a, pesakit pertama mula batuk dan dihantar semula ke Hospital Sungai Buloh.

Kira-kira seminggu kemudian, pesakit kedua yang mempunyai hipertensi dan diabetes, menghidap demam dan mengalami masalah pernafasan dihantar ke Hospital Tanjung Karang dan diuji positif COVID-19 pada 15 Jun.

Sharil berkata beliau yakin tiada penularan pandemik di rumah perlindung­an itu kerana pihak pengurusan telah melaksanak­an langkah ketat untuk membendung COVID19 selepas dua kes dikesan pada Mei, termasuk kuarantin wajib dua minggu, melakukan sanitasi, ujian saringan kedua bagi kakitangan dan penghuni.

Rumah perlindung­an itu turut mengehadka­n kedatangan pelawat serta petugas wajib memakai pelitup muka, sarung tangan dan peralatan perlindung­an diri ketika menguruska­n penghuni.

Sharil berkata langkah itu telah menimbulka­n banyak komplikasi bagi rumah penjagaan itu termasuk kekurangan bekalan (peralatan).

Sejak kes ketiga dikesan, rumah penjagaan itu perlu mendapatka­n lebih banyak peralatan perubatan, seperti kaf tekanan darah dan termometer serta peralatan perlindung­an diri seperti sarung tangan dan pelitup muka, barangan yang tidak mampu dibiayai oleh rumah perlindung­an tersebut.

“Kami mengendali­kan rumah kebajikan. Kami bergantung kepada sumbangan ahli parlimen dan orang ramai,” katanya sambil menambah mereka memerlukan kira-kira 20 kotak sarung tangan dan 252 peralatan perlindung­an diri (PPE) bagi tempoh yang singkat,” katanya.

Oleh kerana ia adalah virus baharu, banyak persoalan yang masih berlegar mengenai infektivit­i, kesan dan tempohnya. Terdapat laporan beberapa kes yang pesakit menunjukka­n gejala selepas dua minggu tempoh kuarantin dan kajian di Hong Kong mendapati satu pertiga daripada pesakit kekal positif 20 hari selepas bermulanya gejala. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia