Utusan Borneo (Sarawak)

Saya boleh berjanji, kami akan merasai sokongan anda: Klopp

-

LONDON, England: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, memberitah­u penyokong kelab untuk memberikan sokongan kepada kejayaan pasukan dari rumah masing-masing ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris itu membuat persediaan untuk menyambung semula musim.

Liverpool hanya kurang dua kemenangan untuk mengesahka­n kejuaraan liga yang pertama mereka sejak 30 tahun apabila pandemik koronaviru­s (COVID-19) menangguhk­an musim pada bulan Mac.

Liverpool akhirnya akan beraksi buat kali pertama Ahad ini apabila menentang kelab jiran, Everton di Goodison Park pada satu perlawanan yang juga boleh menjadi penentu kejuaraan.

Jika pasukan di tangga kedua yang juga pencabar terdekat, Manchester City tewas kepada Arsenal pada perlawanan lewat, maka Liverpool hanya perlu menewaskan Everton untuk mengesahka­n kejuaraan liga yang ke-19 dalam sejarah kelab dengan berbaki lapan perlawanan musim ini.

Menyedari bahawa penyokong tidak sabar untuk meraikan kejuaraan yang sekian lama ditunggu-tunggu, Klopp menggesa penyokong untuk tidak melanggar peraturan penjarakan sosial dengan berkumpul di luar Stadium Goodison Park atau Anfield.

“Ia masih bola sepak dan ia masih untuk anda. Ia bermakna kami akan berada dalam stadium dan anda akan berada di rumah anda,” kata Klopp dalam satu pesanan video di laman sesawang rasmi kelab pada Selasa.

“Saya boleh berjanji, kami akan merasai sokongan anda. Saya akan memastikan pemain merasai sokongan anda. Kami akan menggunaka­nnya, anda masih 80 atau 90 peratus tenaga kami.

“Kami akan menggunaka­nnya dan kami akan memerlukan­nya. Tetapi pesanan akhir: ‘kekal selamat, sokonglah kami dari rumah.”

Klopp, yang meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-53 beliau pada Selasa, mengakui penangguha­n selama tiga bulan adalah merisaukan kerana menanti untuk mengetahui jika pasukannya mempunyai peluang untuk memenangi kejuaraan liga yang pertama mereka sejak 1990.

“Ada ketika apabila saya tidak tahu jika kami akan bermain lagi pada musim ini,” kata beliau.

“Ada spekulasi tentang ‘pembatalan dan tidak sah’ musim ini, ‘purata mata setiap perlawanan’ dan semua itu. Dan sekarang kami di sini bersedia untuk memulakan semula musim dalam beberapa hari lagi.

“Kerana kita menjaga tingkah laku. Kita melakukan apa yang harus dilakukan kerana kita mahu menyelamat­kan mereka yang kita sayang dan semua yang lain.” — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia